Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peniaga giat sokong 'Dadah itu Haram', kempen libatkan M³ di masa depan

Usaha meningkatkan kesedaran masyarakat awam mengenai bahaya dadah akan diperluaskan lagi dengan penglibatan relawan terdiri dari anggota masyarakat dan perikatan M³.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Usaha meningkatkan kesedaran masyarakat awam mengenai bahaya dadah akan diperluaskan lagi dengan penglibatan relawan terdiri dari anggota masyarakat dan perikatan M³.

Itulah strategi yang dikongsi oleh Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Encik Amrin Amin semasa satu acara kempen 'Dadah itu Haram'.

Buat julung kalinya, kempen tersebut disokong oleh para pengusaha dari industri kenderaan.

AMRIN: SEBARKAN MESEJ DI TEMPAT YANG DEKAT DENGAN HATI MASYARAKAT

Jika beberapa bulan lalu, kempen menyebarkan mesej antidadah dibawa lebih dekat kepada masyarakat menerusi pasukan relawan, kali ini ia mempergiatkan usaha menerusi tenaga relawan yang terdiri daripada golongan peniaga.

Buat pertama kalinya, kempen 'Dadah itu Haram' berganding bahu dengan empat kedai kenderaan yang terletak di kawasan berbeza.

Para relawan mengedarkan risalah dan pelekat kereta antidadah kepada pelanggan yang mengunjungi kedai kereta.

Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Encik Amrin berkata usaha baru seperti ini adalah untuk menggalak kerjasama masyarakat untuk sama-sama melibatkan diri menerusi pendekatan dari bawah ke atas.

Beliau menambah pendekatan baru itu mungkin lebih berkesan memandangkan mesej yang disampaikan terletak di tempat-tempat yang selalunya dikunjungi oleh masyarakat Melayu.

"Ini adalah satu strategi pertama atau pendidikan mencegah dadah di mana kami memberi pendidikan kepada mereka supaya mereka menjauhkan diri daripada masalah ini kerana apabila kita terjerat dalam masalah ini agak payah untuk kita membuang tabiat ketagih maka sewajarnya kita tidak terjebak dalam masalah ini," tegas Encik Amrin lagi.

USAHA BANTERAS BAHAYA DADAH AKAN DITINGKATKAN MELALUI M³

Memandang ke hadapan, Encik Amrin berkata usaha membanteras dadah akan dipergiatkan lagi khususnya menerusi inisiatif M³ yang menggembleng usaha-usaha Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Yayasan MENDAKI dan Majlis Penyelaras Kegiatan-Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA).

"Kepada mereka yang terjejas, kami pastikan ada sokongan dari segi keluarga, masyarakat, pekerjaan, sokongan moral, kewangan dan sebagainya.

"Ini semua akan kita tingkatkan melalui pelbagai usaha, dari pemerintah, dari M³ dan sebagainya. Saya rasa ini adalah satu usaha di mana kita harus tekun melaksanakan," kongsinya lagi.

PENIAGA SINGSING LENGAN SEBARKAN MESEJ ANTIDADAH

Para peniaga seperti Encik Ismail Yusof menyambut baik usaha menyebarkan mesej bahaya dadah, memandangkan ramai daripada pelanggannya terdiri daripada masyarakat Melayu/Islam.

"Memandangkan Doktor Kereta telah berkecimpung dalam masyarakat Melayu dan ramai daripada masyarakat Melayu membeli kereta daripada kami, kami menghargai pelawaan untuk menyertai kegiatan ini, dan melalui penyertaan ini, kami akan menyampaikan risalah kepada para pembeli dan pelanggan kami yang ramai itu," kongsi beliau kepada BERITAmediacorp.

Turut sama menjayakan kempen 'Dadah itu Haram' ialah 40 relawan 'mat motor' dari lapan pertubuhan termasuk Bikerz Brothers, Scooter Owners Group, Bushido, dan Bikers Union. 

Sumber : BERITA Mediacorp/UR/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan