Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengurus syarikat didenda kurung 3 pekerja asing dalam bilik semasa 'circuit breaker'

Apabila tiga pekerja asing yang tinggal di kilang syarikatnya yang disesuaikan menjadi dormitori, secara berterusan melanggar undang-undang, Shaun Pang Tong Heng memutuskan untuk menangani masalah tersebut dengan caranya sendiri.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengurus syarikat didenda kurung 3 pekerja asing dalam bilik semasa 'circuit breaker'

Gambar fail Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 17 Sep 2020 09:43PM Dikemas Kini : 17 Sep 2020 09:52PM

SINGAPURA: Apabila tiga pekerja asing yang tinggal di kilang syarikatnya yang disesuaikan menjadi dormitori, secara berterusan melanggar undang-undang, Shaun Pang Tong Heng memutuskan untuk menangani masalah tersebut dengan caranya sendiri.

Pang mengunci mereka di sebuah bilik sebanyak dua kali, kali kedua selama 39 hari, sehingga salah seorang daripada mereka menelefon Kementerian Tenaga Manusia (MOM) untuk membuat aduan.

Pada Khamis (17 Sep), Pang, 41 tahun, diarah membayar denda sebanyak S$9,000.

Dia mengaku bersalah atas tiga tuduhan mengurung dengan paksa. Tiga tuduhan lain dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman.

KEJADIAN PERTAMA

Pang diberitahu pada 12 Mei bahawa dua pekerja binaan tersebut - Encik Pandiyan Jayakanthan, 23, dan Encik Ganesan Pandi, 24 - mengganggu pekerja lain.

Salah seorang daripada mereka juga pernah menyebabkan kemalangan setelah memandu lori tanpa lesen, kata peguam Pang kepada mahkamah.

Sementara itu, polis sedang menyiasat Encik Muthuraj Thangaraj, seorang penyelia pembinaan berusia 39 tahun, atas insiden berasingan memandu ketika mabuk.

Pang memutuskan bahawa mereka adalah "pengacau" dan membuat keputusan untuk mengurung mereka di kawasan terhad yang terdiri daripada bilik utama dan tandas, kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Eric Hu kepada mahkamah, namun dia membebaskan mereka pada 15 Mei setelah mereka mengadu bahawa kawasan itu panas dan banyak nyamuk.

KEJADIAN KEDUA

Pang kemudian mengarah mereka berpindah ke bilik lain yang tidak berkunci, dengan tiga katil dan penghawa dingin.

Namun tiga hari kemudian, dia melihat rakaman video yang menunjukkan Encik Pandiyan dan Encik Ganesan meninggalkan pekarangan syarikat. Dia menyuruh pekerjanya mengurung mereka sekali lagi.

Pang memberitahu mereka dia akan memanggil polis, jika tidak duduk diam.

Pekerjanya memasang pagar besi di kawasan tersebut dengan mangganya sekali. Ketiga-tiga pekerja itu tinggal di sana dari 19 Mei hingga 26 Jun.

Bilik utama di kawasan itu berukuran 3.4 meter kali 4.3 meter kali 3 meter, dengan tiga katil, kipas angin dan penyejuk air. Pekerja tersebut boleh menggunakan tandas, WiFi dan telefon bimbit mereka, dan juga diberi makan tiga kali sehari.

Pada 26 Jun, MOM mengerahkan sekumpulan pegawai ke sana, yang memberitahu Pang agar segera melepaskan pekerja.

PEKERJA PANJAT TEMBOK UNTUK BELI ARAK

Dalam hujah pembelaannya, peguam Pang, Md Noor E Adnaan menjelaskan "keadaan" yang dihadapi oleh anak guamnya.

Selain kejadian berasingan itu, ketiga-tiga pekerja terbabit juga pernah didapati minum arak di premis syarikat, yang tidak dibenarkan.

Setelah mereka dibebaskan buat pertama kali, Encik Noor berkata bahawa dua daripada lelaki itu memanjat tembok syarikat, membeli arak dan kembali ke dormitori. Mereka kemudian ditemui "berbau arak" di bilik mereka.

"Mungkin ada yang menganggapnya sebagai pekerja asing bersuka-ria sendiri, tetapi kita harus melihatnya dalam konteks pandemik sekarang," kata peguam itu.

Ketika Hakim Daerah Prem Raj bertanya mengapa Pang tidak menghubungi polis, peguam tersebut berkata bahawa Pang berpendapat bahawa MOM adalah pihak berkuasa yang betul untuk menanganinya.

Dia sudahpun menghantar e-mel kepada mereka mengenai pekerja yang meninggalkan premis itu, dan sedang menunggu jawapan.

Dalam menjatuhkan hukuman ke atas Pang, Hakim Daerah Raj berkata beliau menerima penjelasan Pang namun menambah dia "seharusnya memaklumkan polis".

Bagi setiap tuduhan mengurung seseorang dengan paksa, dia boleh dihukum penjara hingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan