Images
  • crime generic
    (Gambar hiasan: Ngau Kai Yan)

Pengurus salon dihukum penjara 3 tahun kerana dera amah

SINGAPURA: Seorang wanita yang mendera pembantu rumahnya dari Myanmar dengan memaksanya menyimbah air panas ke atas dirinya sendiri, serta memukul dan menarik rambutnya, dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun pada Isnin (11 Feb).

Pengurus kedai dandanan Linda Seah, 39 tahun, didakwa bulan lalu kerana mendera Phyu Phyu Mar pada 2016.

Dia dikenakan enam dakwaan termasuk dua kali memaksa amahnya menuang air panas ke bahu kirinya sehingga kulitnya melecur.

Menurut dokumen mahkamah, Seah juga memaksanya meminum "air yang dicampur dengan pembersih lantai".

Dia juga pernah menarik rambut amah itu sehingga sebahagiannya tercabut dan berulang kali memukulnya di kepala dengan telefon bimbit.

Mahkamah diberitahu Seah sering berasa tidak puas hati kerana amahnya lambat menghabiskan kerja rumah.

Namun, semasa menjatuhkan hukuman penjara, Hakim Daerah Olivia Low berkata bahawa "rasa tidak puas hatinya terhadap cara mangsa bekerja tidak boleh dijadikan alasan bagi apa pun bentuk keganasan terhadapnya".

Beliau berkata, mangsa mengalami kesan psikologi dan parut di bahunya.

Seah juga didenda S$9,000.

Hakim berkata, antara faktor-faktor lain yang dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman termasuk tindakan Seah yang tidak membenarkan amahnya makan sehingga beliau tidak cukup zat makanan. Seah juga tidak membayar gaji amahnya.

Suami Seah, Lim Toon Leng, 44 tahun, dipenjara enam minggu atas dakwaan menumbuk dahi pembantu rumah itu.

Tindakan pasangan itu didedahkan selepas mangsa menemani Seah ke salon yang diurusnya, di mana salah seorang kakitangan di sana membuat aduan kepada polis.  

- AFP/AQ/aq

Top