Images
  • chicken ayam
    (Gambar hiasan: Kyryl Gorlov/Canva)

Pengurus operasi dipenjara 16 bulan curi 10,000 ekor ayam beku, segar daripada majikan

SINGAPURA: Seorang pengurus operasi berusia 33 tahun bagi sebuah syarikat pengedaran ayam dipenjara 16 bulan kerana mencuri lebih 10,000 ekor ayam beku dan segar serta lima karton kepak ayam.

Rampasan itu bernilai lebih S$30,000 secara keseluruhan.

Au Yong Seh Enn, seorang warga Malaysia, mengaku bersalah pada Khamis (13 Feb), atas satu tuduhan mencuri.

Dia bekerja dengan Hy-Fresh Industries di Singapura sejak Disember 2013. Syarikat itu mengedar kedua-dua ayam segar dan beku berdasarkan pesanan yang dibuat oleh pelanggan.

Mahkamah diberitahu bahawa majikan Au Yong mendapat tahu tentang perbuatannya itu setelah dua lagi pekerja Hy-Fresh mengesan perbezaan besar dalam perangkaan stok bagi bulan-bulan September, Oktober dan November tahun lalu.

Ia dilaporkan kepada pengarah syarikat itu, Ng Lay Hong, 60 tahun, yang kemudian membuat aduan polis pada 7 Januari lalu. Ini setelah Au Yong mengaku dia mencuri ayam-ayam itu dan menjualnya kepada pihak ketiga tanpa keizinan majikannya.

Polis memberkas Au Yong pada hari yang sama.

Siasatan mendedahkan pekerja itu - yang ditugaskan untuk membeli, menjual dan menghantar ayam-ayam kepada pelanggan - sudahpun menjual ayam-ayam yang dicuri bagi kira-kira S$50,000 hingga S$60,000 secara keseluruhan.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Rimplejit Kaur mengatakan tertuduh menggunakan pendapatan itu untuk melangsaikan hutang perjudiannya dan membayar balik pinjaman yang diperolehnya daripada pemiutang tidak berlesen, antara lain.

Beliau menambah bahawa ayam-ayam yang dicuri itu tidak dapat dikesan semula dan Au Yong tidak boleh membuat sebarang pembayaran balik.

Mahkamah diberitahu, harga bagi setiap ekor ayam - segar atau beku - adalah S$2.86.

Au Yong menjualnya secara karton berisikan 10 ekor ayam, kepada pihak ketiga sebanyak tiga kali antara 1 September dengan 18 November tahun lalu. 

- TODAYonline/FZ/fz

Top