Images
  • jem westgate
    Petikan dari Google Maps.

Pengunjung ke JEM, Westgate dari 10 hingga 14 Mei digesa jalani ujian swab percuma COVID-19

SINGAPURA: Orang awam yang mengunjungi pusat beli-belah JEM atau Westgate antara 10 Mei hingga 14 Mei "amat" digalakkan supaya mengambil ujian swab COVID-19 setelah kes-kes COVID-19 mengunjungi pusat beli-belah itu semasa tempoh berjangkit mereka.

Ujian swab itu adalah percuma dan bertujuan "mengurangkan sebarang kemungkinan risiko penularan lebih luas dan tidak dikesan dalam masyarakat", menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (18 Mei).

Kontak rapat kepada kes-kes disahkan yang lebih berisiko dijangkiti sudah pun dikenal pasti menerusi pengesanan kontak, menurut MOH.

SMS akan dihantar secara berperingkat kepada individu yang dikenal pasti melalui rekod SafeEntry bagi memaklumkan mereka tentang ujian percuma itu.

Setakat Isnin, Westgate tersenarai dua kali dalam senarai MOH bagi tempat-tempat dikunjungi kes COVID-19 semasa tempoh berjangkit mereka. Kedai-kedai di Westgate yang dikunjungi oleh kes-kes itu adalah Kiddy Palace dan Star Arts.

JEM tersenarai sebanyak tujuh kali termasuk Don Don Donki, FairPrice Extra dan Toast Box.

Dari 19 Mei hingga 1 Jun, mereka yang mahu mengambil ujian swab boleh menghubungi atau membuat temu janji di Pusat Ujian Kesihatan Fullerton di Szechuan Court di Raffles City Shopping Centre.

Mereka juga boleh mengunjungi Raffles Hospital di 585 North Bridge Road atau Raffles Medical di Shaw Centre Orchard.

Orang ramai juga boleh membuat temu janji di pusat pemeriksaan daerah berikut:

- Jurong Club House, 11 Jurong Town Hall Road

- Bekas Sekolah Rendah Da Qiao, 8 Ang Mo Kio Street 54

- Bekas Sekolah Menengah Shuqun, 450 Jurong East Street 21

- Bekas Sekolah Rendah Coral, 20 Pasir Ris Street 51

- Bekas Sekolah Menengah Bishan Park, 2 Sin Ming Walk

Orang ramai boleh membuat panggilan lebih awal untuk mengatur temu janji di sebarang Klinik Persediaan Kesihatan Awam Swab dan Hantar Pulang (SASH PHPC) di merata Singapura.

MOH menambah bahawa ujian swab bagi kanak-kanak tidak tersedia di pusat pemeriksaan daerah dan hanya ditawarkan di SASH PHPC terpilih.

Hanya individu tanpa simptom akan diterima di pusat pemeriksaan daerah dan tempat pengujian yang lain. Mereka yang berasa kurang sihat patut berjumpa doktor atau mengunjungi SASH PHPC.

Orang ramai juga mungkin dirujuk ke tempat pemeriksaan yang lain sekiranya pusat pemeriksaan daerah itu penuh, menurut MOH.

Mereka yang mengambil ujian swab patut membawa bersama pengenalan gambar dan mengemukakan SMS yang diterima. Mereka juga boleh mengisytiharkan tarikh mereka kali terakhir mengunjungi JEM atau Westgate.

- CNA/HA/ha

Top