Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengunduran Goh Chok Tong, Low Thia Khiang dari arena politik menandakan berakhirnya satu era, kata Presiden Halimah

Pengunduran dua tokoh politik negara, Encik Goh Chok Tong dan Encik Low Thia Khiang, ibarat berakhirnya satu era, kata Presiden Halimah Yacob.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengunduran Goh Chok Tong, Low Thia Khiang dari arena politik menandakan berakhirnya satu era, kata Presiden Halimah

Encik Goh Chok Tong (kiri) dan Encik Low Thia Khiang. (Gambar-gambar: AFP & Mediacorp)

SINGAPURA: Pengunduran dua tokoh politik negara, Encik Goh Chok Tong dan Encik Low Thia Khiang, ibarat berakhirnya satu era, kata Presiden Halimah Yacob.

Biarpun kedua-dua mantan pemimpin itu berkhidmat di spektrum politik yang bertentangan, kata Puan Halimah, Encik Goh dan Encik Low dikenali dengan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Maka itu, adalah satu kebetulan luar biasa apabila hari ini (25 Jun) mereka mengumumkan keputusan masing-masing untuk berundur diri dan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Sewaktu mengimbau kembali saat pertama kali beliau berkecimpung dalam arena politik di laman Facebooknya malam tadi, Puan Halimah berkata Encik Goh adalah orang yang mengajaknya menyertai politik 20 tahun lalu.

"Saya masih ingat pertemuan itu di Istana apabila beliau memujuk saya supaya memasuki politik, satu keputusan yang mengubah hidup saya," kata Presiden Halimah.

Bahkan, usaha yang mereka kongsi bersama sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk menggembleng sokongan rakyat Singapura bagi golongan kurang daya upaya - membawa mereka lebih rapat lagi.

"Encik Goh sudah memberikan sumbangan besar kepada Singapura dan saya yakin beliau akan terus memainkan peranan penting dalam masyarakat kita," tulisnya.

Dalam catatannya itu juga, Puan Halimah menyifatkan Encik Low sebagai seorang pemimpin pembangkang disegani yang sudah lama berkhidmat. Biarpun mereka mempunyai pandangan berbeza mengenai banyak dasar, Puan Halimah berkata beliau menghormati Encik Low atas kesungguhan dan motivasinya untuk menjadikan Singapura sebuah negara yang baik.

"Beliau adalah suara pendapat yang rasional dalam kalangan pembangkang di Singapura. Saya gembira Encik Low kian beransur pulih dan berharap beliau cepat sembuh," katanya.

"Bagi pihak semua rakyat Singapura, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua Encik Goh dan Encik Low atas khidmat mereka yang bertahun-tahun lamanya. Saya ucapkan selamat maju jaya." 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan