Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penghantar makanan diberkas kerana bergaduh di kedai 'bubble tea' Playmade

Seorang lelaki berusia 38 tahun ditangkap pada Selasa (21 Apr) setelah pergaduhan tercetus di kedai minuman 'bubble tea Playmade di pusat beli-belah Waterway Point. 

Anggaran Waktu Membaca:
Penghantar makanan diberkas kerana bergaduh di kedai 'bubble tea' Playmade

Rakaman insiden pergaduhan di Waterway Point tersebar luas di media sosial.

Diterbitkan : 22 Apr 2020 01:34PM Dikemas Kini : 22 Apr 2020 01:35PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 38 tahun ditangkap pada Selasa (21 Apr) setelah pergaduhan tercetus di kedai minuman 'bubble tea Playmade di pusat beli-belah Waterway Point.

Polis menyatakan ia menerima panggilan meminta bantuan pada sekitar 9.40 malam di pusat beli-belah itu, yang terletak di 83 Punggol Central, dan memberkas lelaki berkenaan kerana menyebabkan gangguan awam.

Siasatan polis sedang dijalankan.

Video yang menunjukkan insiden itu sudah dikongsi secara meluas di media sosial. Dalam rakaman tersebut, seorang penghantar makanan GrabFood dilihat sedang bertikam lidah dan bertengkar dengan para pekerja Playmade.

Dalam catatan Facebooknya pagi ini, Playmade menyatakan ia maklum akan video-video yang tersebar itu.

"Pada waktu itu, pasukan kami menerima lebih 150 pesanan berbeza (purata 600 cawan minuman) menerusi khidmat penghantaran sahaja sejam sebelum kedai ditutup meskipun terdapat usaha untuk menghentikan pesanan daripada terus masuk.

"Ini membawa kepada tekanan hebat di kedua-dua pihak antara pasukan kami dan penghantar makanan untuk menguruskan kesemua pesanan dalam tempoh yang singkat sebelum menutup kedai," menurut Playmade.

Rangkaian 'bubble tea' itu menambah ia sedang "menjalankan siasatan rapi" terhadap insiden itu dengan pihak-pihak berkuasa dan meminta maaf kepada para pelanggan serta pekerja penghantaran lain yang terjejas.

Insiden di Waterway Point itu berlaku sejurus selepas pihak berkuasa mengumumkan lebih banyak kedai serta cawangan makanan dan minuman di Singapura perlu menggantung operasi masing-masing. Ini menyusuli langkah mengurangkan khidmat penting sebagai sebahagian langkah lebih ketat bagi membendung penularan COVID-19.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Grab menyatakan ia menyaksikan "lonjakan yang sangat mendadak pada jumlah pesanan" pada lewat petang Selasa setelah langkah-langkah baru itu diumumkan.

"Pekerja penghantaran dan rakan niaga kami bekerja keras untuk memenuhinya," menurut aplikasi khidmat kereta sewa itu sambil menambah bahawa syarikat itu sedang menyiasat insiden tersebut.

Mediacorp sudahpun menghubungi Playmade untuk mendapatkan komennya. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan