Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penghantar makanan Deliveroo dakwa raih pendapatan S$7,095; namun diragui penghantar lain

Deliveroo mendedahkan pada Isnin (20 April) bahawa salah seorang penghantar makanannya berjaya meraih S$7,095 pada Mac, sekali gus "menggambarkan potensi pendapatan yang boleh diraih". Namun, para penghantar lain memberitahu Mediacorp bahawa hasil pendapatan tersebut hampir mustahil untuk dikecapi.

Anggaran Waktu Membaca:
Penghantar makanan Deliveroo dakwa raih pendapatan S$7,095; namun diragui penghantar lain

Gambar fail pekerja penghantaran makanan Deliveroo (Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 21 Apr 2020 11:14AM Dikemas Kini : 21 Apr 2020 11:21AM

SINGAPURA: Wadah penghantaran makanan Deliveroo mendedahkan pada Isnin (20 April) bahawa salah seorang penghantar makanannya berjaya meraih S$7,095 pada Mac, sekali gus "menggambarkan potensi pendapatan yang boleh diraih" daripada pekerjaan itu. Namun, para penghantar lain memberitahu Mediacorp bahawa hasil pendapatan tersebut hampir mustahil untuk dikecapi, terutamanya dengan semakin ramai orang yang turut beralih ke tugas sebagai penghantar makanan di tengah-tengah landskap ekonomi yang mencabar.

Deliveroo menyatakan dalam kenyataan medianya bahawa ia menerima jumlah permohonan yang mencecah paras rekod, dengan hampir 5,000 permohonan dalam suku pertama tahun ini untuk bekerja sebagai penghantar makanan. Syarikat itu menambah lagi 1,000 penghantar makanan dalam tempoh tiga bulan itu.

Bulan ini saja, syarikat itu menambah lebih 1,000 penghantar makanan kepada tenaga kerjanya yang sedia ada, menurut kenyataan itu lagi.

Menurut syarikat berkenaan: "Pada masa yang sama, Deliveroo sedang memantau dengan teliti jumlah penghantar makanan untuk mengelakkan terlalu ramai penghantar makanan bagi melindungi pendapatan para penghantar makanan."

Apabila diminta lebih banyak perincian mengenai berapa jam dan hari pekerja itu bertugas, Deliveroo menyatakan: "Dengan model bayar ikut penghantaran yang lebih fleksibel, ini bermakna para penghantar makanan boleh memilih bila untuk bekerja dan bekerja dengan syarikat-syarikat lain - termasuk pesaing - pada masa yang sama mereka menghantar makanan untuk Deliveroo. Mereka boleh menentukan berapa kerap mereka bekerja dengan Deliveroo dan mempunyai pilihan untuk membatalkan pesanan yang diambil mereka pada saat-saat akhir jika mereka mahu."

Syarikat itu menambah bahawa penghantar makanannya secara purata meraih gaji S$17 sejam, namun "ia sebenarnya berbeza dari satu pekerja ke satu pekerja lain berdasarkan jadual kerja mereka yang fleksibel.

Deliveroo mendedahkan butiran-butiran tersebut di tengah-tengah keprihatinan yang meningkat terhadap pendapatan para penghantar makanan semasa pandemik COVID-19.

Para penghantar makanan memberitahu Mediacorp minggu lalu bahawa mereka bimbang pendapatan mereka mungkin berkurangan sedang jumlah kru penghantaran semakin ramai sedang cawangan-cawangan makanan dan minuman (F&B) pula menggesa syarikat-syarikat penghantaran supaya mengurangkan kadar komisyen.

Menjawab pertanyaan Mediacorp tentang pendapatan tertinggi yang diraih oleh seseorang penghantar makanan, jurucakap Foodpanda berkata: "Meskipun tiada banyak perubahan pada pendapatan purata bagi setiap penghantar makanan Foodpanda, kami menyaksikan pendapatan yang tinggi dalam kalangan penghantar makanan Foodpanda pada bulan lalu."

Syarikat itu menambah bahawa secara purata penghantar makanannya dibayar S$7.50 bagi setiap penghantaran.

Grab menyatakan rakan-rakan penghantar makanan GrabFood adalah individu yang bekerja sendiri dan mempunyai kelonggaran sepenuhnya untuk menentukan sendiri bila, di mana dan bagaimana mereka mahu bekerja untuk wadah tersebut.

"Pendapatan mereka berbeza dan bergantung kepada faktor-faktor sedemikian dan juga faktor-faktor lain," tambahnya.

TIDAK MUNGKIN SEBELUM INI, JUGA MUSTAHIL SEKARANG

Para penghantar makanan Deliveroo memberitahu Mediacorp bahawa meskipun ia sesuatu yang boleh berlaku - walaupun sangat sukar untuk mencapainya - bagi seseorang penghantar makanan untuk meraih sekitar S$7,000 pada Mac, ia adalah sesuatu yang mustahil untuk dicapai sekarang, lebih-lebih lagi dengan begitu ramai penghantar makanan buat masa ini.

Penghantar-penghantar makanan yang lain berkata pendapatan mereka merosot antara 20 hingga 40 peratus bulan ini.

Penghantar makanan sambilan Deliveroo Abdul Rashid membanting tulang selama 10 hingga 12 jam sehari untuk menyara isteri dan anak perempuannya. Meskipun dengan kerja kerasnya untuk melakukan seberapa banyak penghantaran makanan, beliau hanya berupaya meraih maksimum S$4,000 sebulan.

"Seseorang penghantar makanan mesti mula menghantar makanan sejak awal pagi lagi, bermula pada sekitar 8.00 pagi hingga tengah malam," keluh pekerja berusia 30 tahun itu. "Dan ya, ia sangat meletihkan... saya sendiri tidak mampu bertugas untuk tempoh sepanjang itu."

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan