Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penghantar makanan ada 'keprihatinan wajar' tentang peraturan baru e-skuter: Desmond Lee

 Meskipun peraturan bagi melarang penggunaan skuter elektrik di laluan pejalan kaki dikuatkuasakan untuk melindungi keselamatan para pejalan kaki, para penghantar makanan yang menggunakan alat mobiliti peribadi untuk menjalankan tugas mereka juga adalah rakyat Singapura dengan "keprihatinan wajar".

Anggaran Waktu Membaca:
Penghantar makanan ada 'keprihatinan wajar' tentang peraturan baru e-skuter: Desmond Lee

Encik Desmond Lee semasa sesi Bertemu Penduduk di Jurong. (Gambar-Gambar: Zhaki Abdullah)

Diterbitkan : 08 Nov 2019 09:05AM Dikemas Kini : 08 Nov 2019 09:11AM

SINGAPURA: Meskipun peraturan bagi melarang penggunaan skuter elektrik di laluan pejalan kaki dikuatkuasakan untuk melindungi keselamatan para pejalan kaki, para penghantar makanan yang menggunakan alat mobiliti peribadi (PMD) untuk menjalankan tugas mereka juga adalah rakyat Singapura dengan "keprihatinan wajar," kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee pada Khamis (7 Nov).

Encik Lee, seorang Anggota Parlimen GRC Jurong, berkata demikian di luar sesi Bertemu Penduduk (MPS) di kawasannya. Seramai 50 penghantar makanan menghadiri sesi itu bagi menyuarakan keprihatinan mereka mengenai bagaimana peraturan baru itu akan menjejas mata pencarian mereka.

Lebih separuh daripada mereka dilihat memakai kemeja-T GrabFood berwarna hijau.

Awal dari itu, Grab menyatakan bahawa sepertiga daripada para penghantar makanannya akan terjejas akibat peraturan baru tersebut.

Sebuah lagi syarikat khidmat penghantaran makanan, Deliveroo, menyatakan bahawa ia sudah membantu sekitar 30 peratus daripada para penghantar makanannya, yang sebelum ini menggunakan PMD atau basikal elektrik, untuk menukar kepada alat pengangkutan lain seperti basikal atau motosikal.

"Kami berhubung rapat dengan semua penunggang PMD kami dan akan terus berbincang dengan mereka serta melakukan lebih untuk menyokong mereka dan keperluan mereka memandang ke hadapan," kata jurucakap Deliveroo.

Encik Lee menambah: "Mereka mempunyai keprihatinan yang wajar (tentang) mata pencarian dan pendapatan mereka dan tentunya isu-isu berkaitan yang lain."

Beliau berkata para penunggang bimbang mereka tidak dapat melunaskan bayaran ansuran untuk PMD mereka serta tidak dapat memperolehi basikal elektrik atau kenderaan lain yang membolehkan mereka untuk terus bekerja.

Para wakil daripada pelbagai peruncit e-skuter turut menghadiri MPS itu dan menyampaikan sepucuk surat kepada Encik Lee bagi pihak lebih 30 penjual.

Mereka menggesa pihak berkuasa supaya membenarkan penggunaan PMD di jalan-jalan raya, dengan had kelajuan ditetapkan pada 25 kilometer sejam dan menukar lebih banyak laluan pejalan kaki kepada laluan-laluan yang dikongsi bersama.

Encik Lee memberitahu mereka yang hadir di MPS itu bahawa keprihatinan mereka akan dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Jumaat (8 Nov).

Encik Jacki Ng dari peruncit Eko Life berkata beliau berharap peraturan itu dapat diubah bagi membolehkan para penunggang dan pejalan kaki berkongsi laluan dengan selamat.

Seorang penunggang, Encik P K Satria, pula berkata beliau berharap perubahan dapat dilakukan kepada peraturan itu tidak lama lagi.

Menurutnya, para pejalan kaki kelihatan marah meskipun beliau menunggang PMD di laluan berbasikal di mana penggunaan e-skuter dibenarkan.

Encik Satria, 21 tahun, yang sudah bekerja untuk GrabFood selama dua tahun, berkata orang awam menganggap para penunggang e-skuter sebagai "orang-orang tidak baik yang menyebabkan gangguan, kemalangan dan kejadian yang tidak diingini".

"Mereka lupa bahawa sebagai penghantar makanan, kami keluar menghantar makanan dan memberikan khidmat yang sebaik mungkin kerana akhirnya, kami hanya mahu pulang ke rumah dan menyara keluarga kami," katanya. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan