Images
  • alfian grabfood
    Penghantar makanan GrabFood yang dikenalpasti sebagai Muhammad Riau Alfian menyelamatkan seorang pemandu terperangkap selepas kemalangan (Gambar: Facebook)

Penghantar GrabFood selamatkan pemandu lori terperangkap dalam kemalangan

SINGAPURA: Seorang pekerja penghantaran makanan GrabFood dipuji sebagai seorang wira selepas beliau menyelamatkan seorang pemandu yang terperangkap dalam sebuah lori yang terbalik di persimpangan jalan di Boon Lay pada pagi Sabtu (10 Ogos).

Dalam petikan video yang dirakam saksi Mohamad Nurfadly, penunggang GrabFood itu - dikenalpasti sebagai Muhammad Riau Alfian, 28 tahun - dilihat sedang menarik keluar seorang lelaki tua dari dalam sebuah lori yang terbalik ke tepi sebelum para anggota paramedik tiba.

Pemandu lori itu sedang cuba mengelak daripada melanggar lori sampah yang sedang melalui persimpangan antara Jalan Boon Lay dengan Boon Lay Way pada kira-kira pukul 10.00 pagi apabila ia membuat pusingan secara mendadak ke kanan, menyebabkannya terbalik.

Encik Nurfadly, seorang jurulatih bantuan kecemasan 37 tahun, memberitahu Mediacorp bahawa sebaik sahaja kemalangan itu berlaku, Encik Alfian mencampakkan alat mobiliti peribadinya (PMD), telefon bimbit dan beg penghantarannya lalu bergegas untuk membantu.

Encik Alfian, yang bekerja sebagai penghantar GrabFood sejak September lalu, memesongkan trafik sebelum memanjat bahagian tepi lori itu untuk cuba menyelamatkan pemandu terperangkap berkenaan yang berada dalam keadaan sedar.

Encik Alfian malah membalut tangannya untuk cuba memecahkan tingkap lori tersebut sebelum seorang pekerja dari tapak binaan berdekatan menghulurkannya sebatang perejang (crowbar), menurut Encik Nurfadly.

Encik Nurfadly berkata beliau memutuskan untuk memuatnaik video yang dirakamnya ke Facebook untuk menunjukkan bukan semua penunggang PMD membahayakan nyawa orang lain seperti yang kerap kali dipaparkan.

"Sebilangan daripada kami juga menyelamatkan nyawa," tulis Encik Nurfadly, juga merupakan seorang penghantar FoodPanda sambilan, di laman Facebooknya pada Sabtu.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) mengesahkan pihaknya dimaklumkan tentang insiden pada 10.00 pagi pada Sabtu. Seorang lelaki dibawa ke Hospital Ng Teng Fong.

Encik Nurfadly tidak dapat berbual dengan Encik Alfian menyusuli insiden itu kerana perlu bergegas ke tempat lain, namun saudara perempuan kepada Encik Alfian menghubunginya sejak beliau memuat naik video itu ke Facebook.

Sehingga Ahad malam, catatan Facebook itu sudah dikongsi lebih 400 kali.

Sambil menarik perhatian bahawa percubaan menyelamat itu mengambil masa 15 minit, Encik Nurfadly berkata situasi sebegini bererti penghantar makanan akan lewat mengambil atau menghantar makanan.

"Bagi penunggang seperti kami, masa amat genting," tambah beliau. "Setiap minit yang terbazir mungkin bererti kehilangan pendapatan."

"Tahniah dan syabas Grab rider hero," puji beliau.

Para netizen akur dengan pujian Encik Nurfadly.

Mediacorp sudah menghubungi Grab untuk memberikan komen.

- TODAY/TQ/tq

Top