Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penggunaan elektrik tinggi pada Mei: EMA, SP Group

Tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dan cuaca yang lebih panas menyebabkan penggunaan elektrik lebih tinggi bagi kebanyakan isi rumah pada bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Jun 2020 05:32PM Dikemas Kini : 16 Jun 2020 11:06PM

SINGAPURA: Tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dan cuaca yang lebih panas menyebabkan penggunaan elektrik lebih tinggi bagi kebanyakan isi rumah pada bulan lalu.

Secara purata penggunaan harian elektrik setiap keluarga naik 22 peratus pada Mei berbanding bulan Februari lalu, menurut Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) dan SP Group dalam satu kenyataan media pada Selasa (16 Jun).

"Penggunaan elektrik keluarga Singapura biasanya meningkat dari April hingga Ogos. Ini kerana cuaca selalunya lebih panas pada bulan-bulan ini, dan isi rumah menggunakan lebih banyak elektrik untuk menghidupkan kipas angin atau penghawa dingin agar kekal sejuk."

Lebih ramai warga Singapura juga elak daripada keluar rumah, selain bekerja dan belajar dari rumah dalam tempoh ini.

Dalam keadaan biasa, SP Group menyatakan pihaknya akan menghantar pembaca meter untuk mengunjungi keluarga bagi mencatat penggunaan elektrik, air dan gas mereka setiap dua bulan.

Namun, khidmat ini digantung dari 7 April hingga 1 Jun sejajar dengan langkah jarak selamat untuk membendung penularan COVID-19.

Bagi keluarga yang tidak mempunyai meter canggih dan tidak menyerahkan bacaan meter mereka, penggunaan pada April dan Mei dianggarkan berdasarkan data bulan-bulan sebelumnya.

Ini mungkin menyebabkan anggaran yang kurang bagi bil kedua-dua bulan ini, jelas EMA dan SP Group.

Apabila pembacaan meter secara fizikal disambung semula mulai 2 Jun, jumlah yang kurang dalam anggaran sebelum ini akan disesuaikan dalam bil bulan Jun atau Julai. Ini mungkin menyebabkan bil lebih tinggi berbanding April dan Mei.

Sebagai sebahagian daripada Pakej Bantuan Keluarga dalam Belanjawan 2020, isi rumah HDB yang layak akan menerima dua kali ganda baucar GST U-Save tahun ini. Keluarga yang layak dengan lima atau lebih anggota akan mendapat tambahan rebat Baucar GST - U-Save.

Pengagihan rebat baucar GST U-Save biasa dan Bayaran Khas baucar GST U-Save seterusnya akan dilakukan pada Julai.

Pengagihan pertama rebat tambahan baucar GST U-Save untuk keluarga yang layak dengan lima atau lebih anggota akan dilakukan pada Oktober.

Sebagai sebahagian daripada Belanjawan Kecekalan yang diumumkan baru-baru ini,di mana setiap isi rumah dengan sekurang-kurangnya seorang warga Singapura akan akan menerima Kredit Perbekalan Kesepakatan S$100 sekali sahaja bagi menampung bil api air mereka kerana memainkan peranan dengan duduk di rumah semasa tempoh pemutus jangkitan.

Jumlah itu akan dimasukkan dalam bil api air Julai atau Ogos dengan SP Group dan diberikan kepada semua jenis hartanah.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan