Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengguna S'pura boleh pilih penyedia bekalan elektrik mulai November

Mulai November ini, kesemua 1.4 juta pengguna tenaga elektrik di Singapura boleh memilih pelan harga elektrik daripada 12 penyedia khidmat.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Sep 2018 01:07PM Dikemas Kini : 21 Sep 2018 09:42PM

SINGAPURA: Mulai November ini, kesemua 1.4 juta pengguna tenaga elektrik di Singapura boleh memilih pelan harga elektrik daripada 12 penyedia khidmat.

Dengan pelancaran Pasaran Elektrik Terbuka di seluruh negara, para pengguna tidak lagi perlu melanggani bekalan elektrik daripada SP Group pada kadar tarif terkawal yang disemak setiap tiga bulan.

Sungguhpun demikian, mereka masih boleh memilih untuk terus bersama SP Group jika tidak mahu beralih ke penyedia khidmat lain, menurut Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) pada Jumaat (21 Sep).

Pelancaran tersebut akan dilakukan secara berperingkat, bermula 1 November dengan akaun keluarga dan syarikat perusahaan dengan poskod yang bermula dengan angka 58-78. Ini termasuk kawasan-kawasan di Choa Chu Kang, Yishun, Sembawang dan Upper Bukit Timah.

Ini disusuli dengan kawasan-kawasan lain dengan poskod yang bermula dengan angka 53-57, 79-80 dan 82-83 pada Januari depan, 34-52 dan 81 pada Mac, dan akhir sekali, poskod yang bermula dengan 01-33 pada Mei.

Sebelum pelancarannya, para pengguna akan menerima pakej pemberitahuan dan risalah. Mereka juga boleh membandingkan pelan harga melalui laman http://compare.openelectricitymarket.sg.

Pelaksanaan mengikut zon akan membolehkan EMA dan pembekal elektrik untuk menumpukan usaha mereka mendampingi dan mendidik para pengguna, serta membantu mereka memahami pilihan yang tersedia sebelum membuat keputusan, menurut EMA.

Peruncit-peruncit bebas dan syarikat-syarikat dengan aset penjana kuasa dijangka terlibat dalam pelancaran merata negara, menurut EMA. Ini termasuk Geneco, Keppel Electric, Sembcorp Power, dan peruncit bebas seperti ISwitch dan Ohm Energy.

Buat masa ini, hanya para pengguna di Jurong - yang terdiri daripada 108,000 keluarga dan 9,500 syarikat perniagaan - boleh memilih pelan harga elektrik daripada lebih 10 peruncit di bawah program perintis yang dilancarkan pada 1 April. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan