Images
  • kod qr
    Satu kod QR dipasang berdekatan tempat letak basikal di Singapura. 

Pengguna khidmat kongsi basikal perlu imbas kod QR di tempat letak basikal mulai Jan

SINGAPURA: Mulai 14 Jan, para pengguna khidmat kongsi basikal yang gagal mengimbas kod QR di tempat-tempat letak basikal yang dikhususkan, perlu membayar tambahan S$5 dan dilarang menggunakan khidmat tersebut sehingga setahun.

Langkah itu sebahagian daripada rejim pelesenan baru yang bermatlamat mencegah perbuatan meletak basikal sembarangan.

Buat masa ini, para pengguna hanya perlu mengunci basikal mereka setelah meletak basikal mereka di tempat-tempat yang dikhususkan bagi menamatkan perjalanan mereka. Namun, dengan adanya sistem baru, para pengguna perlu mengambil satu langkah tambahan - mengimbas kod QR menggunakan aplikasi perkongsian basikal yang boleh didapati di lantai atau dinding berdekatan.

Para pengguna akan diberi 10 minit untuk mencari dan mengimbas kod QR menggunakan aplikasi perkongsian basikal.

Mereka yang gagal melakukannya akan dikenakan bayaran tambahan S$5 oleh pihak pengendali.

Jika pengguna mengulangi kesilapan itu sehingga tiga kali dalam tempoh setahun, mereka akan dilarang daripada menggunakan semua khidmat kongsi basikal selama sebulan.

Tempoh larangan itu akan dinaikkan secara bertahap-tahap kepada setahun bagi mereka yang dilarang sebanyak empat kali atau lebih.

Para pengguna akan dikenal pasti melalui nombor telefon bimbit mereka - bagi mencegah sebarang kelemahan melibatkan pengguna membuka akaun-akaun baru.

Bagaimanapun, sekiranya para pengguna berdepan dengan masalah disebabkan kod QR yang rosak atau hilang, mereka boleh membuat aduan menerusi aplikasi kongsi basikal itu. Pengendali kemudian akan menilai maklum balas pengguna bagi mengesahkan sekiranya aduan yang dibuat itu sah.

Sesetengah pengendali akan melancarkan versi beta fungsi imbasan kod QR dalam aplikasi mereka untuk membolehkan para pengguna menyesuaikan diri dengan sistem baru itu buat masa ini, tanpa sebarang denda dikenakan.

Kod QR sudah dipasang di semua kemudahan letak basikal awam.

Buat masa ini, terdapat lebih 210,000 ruang basikal awam di merata Singapura bagi menempatkan 40,500 basikal kongsi semua pengendali.

Lebih 267,000 ruang akan disediakan menjelang 2020. 

- CNA/AQ/aq

Top