Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penggubalan undang-undang berkaitan isu agama harus dipertimbangkan dengan teliti - Masagos

Sebarang penggubalan undang-undang yang bersangkut paut dengan isu agama, seperti hukuman terhadap individu yang menyebarkan ajaran sesat, harus dipertimbangkan dengan teliti.

Anggaran Waktu Membaca:
Penggubalan undang-undang berkaitan isu agama harus dipertimbangkan dengan teliti - Masagos

Gambar fail Encik Masagos di Parlimen pada 5 Jul 2021.

SINGAPURA: Sebarang penggubalan undang-undang yang bersangkut paut dengan isu agama, seperti hukuman terhadap individu yang menyebarkan ajaran sesat, harus dipertimbangkan dengan teliti.

Sungguhpun demikian, kesalahan-kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) tetap disemak dari semasa ke semasa. Ini demi memastikan AMLA selaras dengan dasar perundangan umum dan berkesan dalam mencegah masyarakat daripada melakukan kesalahan.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menjelaskan demikian sebagai menjawab soalan Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Faisal Manap bagi sesi parlimen pada Isnin (13 Sep).

AP pembangkang itu bertanya bila seksyen 139 AMLA dikuatkuasakan dan sekiranya ada rancangan untuk menaikkan jumlah denda yang termaktub di bawah seksyen tersebut.

Seksyen 139 AMLA itu menetapkan bahawa sesiapa yang menyebarkan ajaran sesat ataupun melakukan sebarang amalan ajaran agama Islam mengikut cara yang bertentangan dengan hukum-hukum Islam, adalah satu kesalahan. Pesalah boleh didenda tidak melebihi S$2,000 dan/atau dipenjara sehingga 12 bulan.

Dalam jawapan bertulisnya, Encik Masagos menerangkan bahawa seksyen itu dikuatkuasakan pada 1966 dan ia pernah dipinda pada 1999.

"Bagi kes ajaran sesat, saya terdahulu sudah berkongsi bahawa MUIS ingin menangani masalah-masalah ini daripada akarnya, dengan mengambil pendekatan menyeluruh di mana para individu terlibat menjalani kaunseling dan orang ramai dinasihati tentang fahaman-fahaman berbahaya," tambah Encik Masagos.

Pada Julai lalu, MUIS menyatakan pihaknya sedang dalam proses menggulung siasatan bagi kes lelaki yang dipercayai mengaku nabi dan mengamalkan nikah batin.

Badan penguasa Islam itu bagaimanapun belum memberikan sebarang butiran tentang tindakan yang akan diambil sekiranya individu terbabit disahkan menyebarkan ajaran sesat.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan