Images
  • Singapore

Penggodam mungkin boleh dapat nombor PIN telefon anda melalui alat sensor

SINGAPURA: Para penggodam komputer mungkin boleh mendapatkan nombor PIN telefon anda menerusi alat sensornya.

Dalam kajiannya, sebuah pasukan penyelidik dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berjaya membuka kata laluan telefon bijak Android dengan ketepatan 99.55 peratus dengan hanya melakukan tiga percubaan.
Mereka juga berkata telefon bijak iPhone tidak terkecuali.

Pasukan penyelidik di NTU mengatakan bahasa tubuh seseorang mungkin juga boleh mendedahkan nombor PIN telefonnya.

Telefon bimbit moden mempunyai pelbagai sensor seperti untuk menjejaki pergerakan, orientasi dan cahaya sekeliling.

Apabila seseorang membuka telefon bimbitnya menggunakan kata laluan atau PIN, dia selalunya memegang telefon dengan cara tertentu.

Menekan nombor-nombor tertentu juga menghadang lebih banyak cahaya berbanding nombor-nombor yang lain. Semua itu boleh dirakam sensor telefon bimbit yang berkenaan.

Lama-kelamaan data tersebut boleh dikumpul oleh pihak penggodam untuk membantunya mengetahui nombor PIN telefon tersebut.

Menggabungkan maklumat yang dikumpul daripada enam sensor telefon bimbit, para pengkaji mereka sebuah algoritma atau prosedur pengiraan yang membolehkan mereka membuka telefon bimbit yang dikunci dengan set-set rambang nombor-nombor PIN empat angka dengan hampir amat tepat.

Mediacorp sudahpun menghubungi pihak Google dan Apple bagi mendapatkan pandangan mengenai dapatan kajian NTU itu.

Apple enggan memberikan ulasannya manakala Google belum memberi jawapannya.  

- CNA/RL/nk

Top