Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penggemar bimbang motosikal vintaj 'lenyap' susuli langkah NEA

Langkah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) hendak mengurangkan pencemaran udara dengan membatalkan pendaftaran motosikal lama termasuk vintaj seperti Vespa, dikatakan berpotensi menjejas estetika, warisan dan sejarah negara.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Langkah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) hendak mengurangkan pencemaran udara dengan membatalkan pendaftaran motosikal lama termasuk vintaj seperti Vespa, dikatakan berpotensi menjejas estetika, warisan dan sejarah negara.

Demikian reaksi para penggemar motosikal lama, berhubung langkah NEA hendak memansuhkan motosikal yang didaftar sebelum 1 Julai 2003.

Dianggarkan ada sekitar 6,000 Vespa lama di sini, yang besar kemungkinan tidak akan lagi mewarnai jalan raya Singapura pada suatu hari nanti.

Menjelang tahun 2028, motosikal vintaj mungkin lenyap daripada jalan-jalan raya tempatan, apabila peraturan terbaru NEA berkuat kuasa, dalam usahanya mencegah motosikal lama seperti itu dari terus menjadi penyumbang besar pencemaran udara.

Bagi para pemilik motosikal klasik, inisiatif terbaru NEA itu mengecewakan mereka.

Menurut sekumpulan anak muda yang memiliko motosikal klasik, insentif S$3,500 yang ditawarkan tidak berbaloi memandangkan ada yang membelanjakan lebih $5,000 bagi motosikal vintaj mereka dan ada juga motosikal mereka bernilai hampir $40,000.

"Saya rasa sedih dan kecewa kerana anak-anak muda, generasi baru, tak akan dapat rasa atau melihat motosikal ini yang ada sejarah. Mereka pun tak akan dapat rasa acara-acara dalam masyarakat, masyarakat yang kita dah bina disebabkan motosikal-motosikal lama ini, motosikal-motosikal klasik," kata Encik Asnim Yusoff, salah seorang pemilik Vespa.

Salah seorang lagi pemilik, Encik Adam Sufi, sudah memutuskan untuk tidak membatalkan pendaftaran motosikalnya dan 'rela mengorbankan' insentif yang ditawarkan.

Ini kerana motosikal klasik jenis Lambretta beliau adalah antara 17 buah saja masih ada di Singapura.

Lebih menarik lagi, motosikal beliau berusia hampir 60 tahun dengan tahun pendaftaran asalnya adalah sebelum negara ini mencapai kemerdekaan lagi.

"Pada pendapat saya, motor-motor klasik ini nilai warisannya sangat tinggi. Jadi untuk 'de-register' Lambretta ini, kami akan hilang sejarah dan warisan Singapura buat masa ini," kata Encik Adam Sufi, pemilik motosikal Lambretta.

Rata-rata kesemua pemilik motosikal klasik ini berharap ada saluran untuk mereka menyuarakan keprihatinan berhubung inisiatif yang diumumkan NEA itu.

"Pihak-pihak seperti NEA, LTA, kita pun mengharapkan ada dialog dua hala, adakan perbahasan, apa tindakan yang kita boleh lanjutkan untuk mengelak daripada membatalkan motosikal-motosikal lama ini," ujar Encik Asnim.

"Kesannya ialah kami akan hilang warisan dan juga komuniti-komuniti kecil sebegini," kata Encik Adam pula.

Kini, jika mereka mahu terus menggunakan motosikal klasik selepas tahun 2028, mereka perlu mendaftarkannya di bawah Skim Klasik atau Skim 'Vintage' COE.

Bermakna, mereka hanya boleh menggunakannya di jalan raya kurang daripada 50 kali setahun. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan