Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penggalian semula jenazah: Masih ada waris belum buat tuntutan

Masih terdapat waris yang membuat tuntutan saat-saat akhir bagi penggalian dan pengebumian semula saki baki jasad jenazah yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Choa Chu Kang.

Anggaran Waktu Membaca:
Penggalian semula jenazah: Masih ada waris belum buat tuntutan

Pejabat Penggalian dan Pengebumian Semula Jenazah di Masjid Pusara Aman (Gambar-gambar: Taufiq Hussein Zalizan/BERITAmediacorp)

BERITAmediacorp: Masih terdapat waris yang membuat tuntutan saat-saat akhir bagi penggalian dan pengebumian semula saki baki jasad jenazah yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Choa Chu Kang.

Ini meskipun tarikh akhir untuk berbuat demikian sudah diumumkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sejak September tahun lalu.

Tinjauan rambang BERITAmediacorp mendapati bahawa sekitar 100 orang menghadirkan diri di Masjid Pusara Aman untuk berbuat demikian pagi tadi (24 Sep).

Tempoh tuntutan sebenarnya sudah dibuka seawal 26 September tahun lalu dan dijadual ditutup esok (25 Sep).

Antara ahli waris yang hadirkan diri di Masjid Pusara Aman sehari sebelum tarikh akhir tuntutan (Gambar-gambar: Taufiq Hussein Zalizan/BERITAmediacorp)

Semasa BERITAmediacorp tiba di Masjid Pusara Aman sekitar 7.40 pagi tadi, lebih 10 orang dilihat sedang duduk menanti giliran walaupun Pejabat Penggalian dan Pengebumian Semula Jenazah hanya dibuka pada 8.30 pagi.

Keadaan menjadi kecoh pagi tadi apabila sebilangan waris cuba memotong barisan beratur.

Antara mereka yang tiba awal dan terpaksa mengeluh akibat perbuatan sebilangan waris yang memotong barisan beratur ialah seorang penduduk dari Sengkang yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Syah.

Beliau mendapat nombor giliran 5892 meskipun sudah menunggu sejak 7.30 pagi. Nombor giliran pertama bagi hari ini bermula daripada nombor 5858.

“Amat menyedihkan, cara mereka mengendalikan giliran hari ini. Sebelum ini tidak begitu kecoh sebegini,” menurut penolong ahli kimia yang mengambil cuti hari ini untuk membuat tuntutan ke atas saki baki jasad jenazah arwah datuknya.

Menurut Encik Syah, dua tuntutan yang pernah dibuatnya ke atas saki baki jasad jenazah saudara-mara lain sebelum ini, “mudah saja dan tak seramai seperti ini”.

MUNGKIN TIDAK DAPAT DIELAKKAN

Beberapa waris yang ditemui BERITAmediacorp turut memberikan pandangan mereka terhadap proses tuntutan tersebut.

Ada yang menyarankan agar proses tuntutan itu boleh dilakukan di masjid-masjid di Singapura dan semoga urusan tuntutan dapat dibuat secara bertahap-tahap berdasarkan blok kubur.

Bagi urusan tuntutan kali ini, para waris yang ahli keluarga mereka dikebumikan di blok 6, 7, 8, 9, 19 dan 20 di tanah perkuburan tersebut diminta membuat tuntutan dari September 2017 hingga esok (25 Sep).

“Mungkin sebab last minute, ramai sangat orang. Jadi tak dapat dielakkan,” kata seorang penduduk Tampines yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Nas, yang tiba sejurus selepas pejabat dibuka.

TARIKH ALTERNATIF TURUT DITAWARKAN

Bagi mengurangkan kesesakan dan tempoh menunggu yang panjang pada saat-saat akhir, pejabat tersebut turut memberi tarikh alternatif kepada sebilangan waris yang hadir pagi tadi.

Langkah ini dialu-alukan oleh waris seperti Encik Nas: “Memang sepatutnya dari awal mereka buat begini, jadi lebih mudah, daripada semua hanya duduk menunggu”.

Para waris menunggu giliran

MENGAPA BUAT TUNTUTAN SAAT AKHIR?

BERITAmediacorp turut menanyakan beberapa waris yang hadir mengapa mereka membuat tuntutan pada saat-saat akhir, sedangkan proses tuntutan itu sudah bermula sejak tahun lalu dan pihak MUIS pula mengumumkannya melalui notis pemberitahuan dan media tempatan seawal September tahun lalu.

Encik Amran Amat, 52 tahun, yang datang untuk menuntut saki baki jasad jenazah arwah bapanya, berkata: "Pada mulanya ingin mendaftar bersama saudara-mara lain, jadi boleh disemadikan dalam satu kubur. Namun masing-masing akhirnya daftar sendiri, jadi terpaksa turun sendiri daftar hari ini."

Encik Syah pula menyangka ahli keluarga lain sudah membuat tuntutan dan hanya mendapat kepastian baru-baru ini.

Proses penggalian semula bagi blok-blok yang terjejas dijadual bermula pada 26 September tahun ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan