Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengetua prasekolah gelapkan lebih S$46,000 wang ibu bapa, dipenjara setahun

Seorang pengetua prasekolah dan pusat tajaka yang menggelapkan sekitar S$46,700 yuran pendaftaran dan sekolah, dihukum penjara setahun pada Isnin (2 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Pengetua prasekolah gelapkan lebih S$46,000 wang ibu bapa, dipenjara setahun

Acekidz@Sg di Blok 175A Yung Kuang Road (Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 02 Dec 2019 05:35PM Dikemas Kini : 02 Dec 2019 05:39PM

SINGAPURA: Seorang pengetua prasekolah dan pusat tajaka yang menggelapkan sekitar S$46,700 yuran pendaftaran dan sekolah, dihukum penjara setahun pada Isnin (2 Dis).

Cheryl Zaneta Kaur Nespal, 30, mengaku bersalah atas satu tuduhan melakukan pecah amanah jenayah oleh seorang pekerja.

Dia bertugas sebagai pengetua dan penyelia di Acekidz@SG di Blok 175A Yung Kuang Road, salah satu daripada tujuh cawangan prasekolah dan pusat tajaka syarikat itu, yang berlesen di bawah Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak.

Mahkamah diberitahu, Kaur dilantik memegang jawatan itu pada Julai 2016, namun mula berkelakuan tidak jujur itu hanya selang beberapa bulan kemudian.

Kaur bertanggungjawab ke atas operasi keseluruhan pusat itu, termasuk operasi harian, pendaftaran pelajar baru dan pengurusan kewangannya.

Selepas mengutip sebarang yuran daripada ibu bapa murid, dia sepatutnya memasukkannya ke dalam salah satu daripada dua akaun bank syarikat itu.

Namun, antara Oktober 2016 hingga Julai 2017, Kaur menerima sejumlah S$46,687.70 secara tunai daripada ibu bapa 29 orang pelajar sedia ada dan bakal pelajar di cawangan Jurong.

Tembelangnya terbongkar apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) merangkap pengarah Acekidz@SG menemui resit pembayaran yang mempunyai setem syarikat itu tetapi tidak sepadan dengan jenis yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan.

Apabila disemuka, Kaur mengaku mengambil wang itu, dan menghantar emel mengakui apa yang telah dilakukannya.

Dia dibuang kerja kerja pada Ogos 2017 dan CEO syarikat membuat aduan polis sebulan selepas itu.

Pihak pendakwa memohon sekurang-kurangnya 13 bulan penjara, berhujah bahawa kesalahan yang dilakukan selama 10 bulan tidak mungkin diketahui jika CEO tidak menyedari keganjilan itu.

Daripada jumlah besar yang diseleweng, hanya sebanyak S$2,000 bayaran semula dibuat tahun ini, kata pendakwa.

Terdapat juga "penyalahgunaan kuasanya sebagai pengetua dan penyelia pusat Jurong, yang diberikan kuasa penuh operasi," katanya.

Peguam bela Shaneet Rai memohon hukuman yang tidak melebihi setahun penjara, sambil mengatakan anak guamnya mengalami "tekanan yang besar akibat kerja dan keadaan peribadi" ketika dia menjadi ketua sekolah.

Kaur mempunyai pelbagai masalah kesihatan termasuk masalah cakera teranjak (slipped disk), dan suaminya, pencari nafkah tunggal keluarga, mengalami serangan jantung pada awal tahun ini dan kini hanya bekerja dari rumah.

Atas kesalahan melakukan pecah amanah jenayah oleh seorang pekerja, Kaur boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan