Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengesanan kontak COVID-19 'sangat penting'; token TraceTogether diagihkan bulan ini

Pengesanan kontak yang cekap "sangat penting" untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, kata Menteri Bertanggungjawab bagi inisiatif Negara Bijak Vivian Balakrishnan pada Isnin (8 Jun) semasa memberikan perincian mengenai peranti boleh pakai yang pihak berkuasa akan lancarkan bulan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengesanan kontak COVID-19 'sangat penting'; token TraceTogether diagihkan bulan ini

(Gambar: Hanidah Amin)

Diterbitkan : 08 Jun 2020 09:06PM Dikemas Kini : 08 Jun 2020 09:12PM

SINGAPURA: Pengesanan kontak yang cekap "sangat penting" untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, kata Menteri Bertanggungjawab bagi inisiatif Negara Bijak Vivian Balakrishnan pada Isnin (8 Jun) semasa beliau memberikan lebih banyak perincian mengenai peranti boleh pakai yang pihak berkuasa merancang untuk melancarkannya pada bulan ini.

Kumpulan pertama peranti pengesan kontak, atau token TraceTogether, akan diagihkan pada separuh kedua bulan Jun. Operasi dan fungsinya sama seperti cara aplikasi TraceTogether digunakan melalui telefon bijak.

Keupayaan untuk mengenal pasti kes-kes COVID-19 dengan pantas dan sesiapa saja yang berhubung rapat dengan mereka menjadi lebih penting setelah "circuit breaker" dilonggarkan, kata Dr Balakrishnan di sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian.

Beliau turut menarik perhatian bahawa kemuncak tempoh berjangkit berlaku pada peringkat awal jangkitan dan terdapat kes dengan gejala lebih awal atau tanpa gejala sama sekali semasa penularan COVID-19.

"Maka itu adalah lebih penting jika kita dapat mengesan kedua-dua pesakit dan kontak rapat seawal mungkin. Maka itu, pengesanan awal sangat penting dan di sinilah peranti digital sangat-sangat diperlukan," tegas Dr Balakrishnan.

BUKAN PERANTI BAGI PANTAU PERGERAKAN: VIVIAN BALAKRISHNAN

Diumumkan di Parlimen pada Jumaat bahawa Pemerintah sedang membangunkan peranti pengesan kontak yang boleh dipakai.

Menyentuh tentang keprihatian isu privasi, Dr Balakrishnan berkata: “Jadi di sini saya perlu menekankan dan sudah berulang kali menekankan bahawa ia bukan peranti bagi mengawasi (pergerakan). Ini bukan tag elektronik seperti yang dikhuatiri sebilangan komen di Internet. Khususnya, dan secara teknikal, tiada cip GPS pada peranti. Bahkan tidak ada ketersambungan Internet atau telefon bimbit. "

Tanpa cip GPS, peranti ini tidak dapat mengesan lokasi dan pergerakan seseorang. Tanpa ketersambungan Internet, tidak ada "kemungkinan" data dimuat naik "tanpa penyertaan dan persetujuan pengguna", tegas menteri itu.

Seperti aplikasi TraceTogether, peranti itu hanya merekod data Bluetooth, tambahnya lagi.

"Dan data itu tidak akan dikeluarkan daripada peranti atau telefon. Ia dikuncikan. Ia disimpan sehingga 25 hari dan kemudian dipadamkan secara automatik. "

Data hanya akan digunakan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) jika seseorang disahkan dijangkiti COVID-19 dan "hanya pasukan pengesan kontak tertentu" akan dapat mengakses data untuk mengenal pasti interaksi pesakit.

Data yang dimuat naik dilindungi atas saranan-saranan yang diusulkan kepada sektor keselamatan data awam dan jawatankuasa semakan akan menyelianya, katanya lagi.

Semua pegawai yang terlibat juga dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi dan audit akan dijalankan untuk memastikan tiada data yang dibocorkan, tambah Dr Balakrishnan.

Para pengunjung juga akan digalak supaya turut serta dalam program pengesanan kontak peringkat nasional ini, kata Dr Balakrishnan ketika ditanya sama ada pelancong juga perlu memakai peranti tersebut.

LAPORAN BERKAITAN:


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan