Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengesanan dan pendedahan awal, penting bagi tangani campur tangan asing dalam politik dalaman S'pura

Pemerintah Singapura menekankan bahawa campur tangan luar terhadap politik dalam negeri semakin menjadi satu ancaman global yang perlu diperhatikan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Mar 2019 12:06AM Dikemas Kini : 02 Mar 2019 12:15AM

SINGAPURA: Pemerintah Singapura menekankan bahawa campur tangan luar terhadap politik dalam negeri semakin menjadi satu ancaman global yang perlu diperhatikan.

Lantaran itu, Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam menegaskan bahawa perlindungan terhadap ancaman sebegitu, penting bagi negara yang mempunyai pelbagai budaya seperti Singapura kerana ia berpotensi untuk memecahbelahkan negara dan fabrik sosial.

Campur tangan luar terhadap politik domestik adalah satu isu global.

Pada Februari, Menteri Negara Kanan Undang-Undang merangkap Kesihatan, Edwin Tong, menarik perhatian mengenai bagaimana campur tangan luar dilihat di negara-negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Perancis dan New Zealand.

Kempen Brexit Britain misalnya juga menyaksikan pihak luar menggunakan sentimen anti-Muslim untuk membuat orang ramai menentang Kesatuan Eropah.

Ancaman sedemikian boleh melemahkan kekuatan sebuah negara dan meningkatkan ketegangan hubungan antara negara, kata Encik Shanmugam semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan pada Jumaat (1 Mac).

Singapura sebagai antara negara yang terhubung secara digital dan mempunyai kepelbagaian, perlu sentiasa berwaspada.

Encik Shanmugam berkata: "Pemikiran kita adalah pengesanan dan pendedahan awal itu penting. Kedua, kita mesti tangkas dan bertindak sealiran taktik digital terkini.

"Ketiga selain memperkukuhkan undang-undang, kita mesti membina keupayaan rakyat Singapura untuk mengenal pasti, memberikan respons sewajarnya dalam menentang campur tangan luar."

Singapura juga sedang mempelajari daripada pengalaman negara lain seperti Jerman dan Australia, yang sudah meminda undang-undang untuk menangani perihal maklumat yang salah dan campur tangan luar.

Encik Shanmugam menambah bahawa Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) juga akan membentangkan undang-undang baru terhadap perkara ini.

Beliau juga memberi amaran tentang trend-trend global yang lain yang mengancam masyarakat pelbagai agama di sini. Ini termasuk politik identiti dan sikap pemencilan, yang boleh membuat segilintir orang memegang pandangan yang melampau.

Bagi menangani perkara itu, Encik Shanmugam berkata Singapura perlu membina identiti tempatan yang kukuh dengan mengekalkan dan mewujudkan ruang masyarakat seperti Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan sekolah-sekolah.

Encik Shanmugam turut menekankan pentingnya untuk mengasingkan agama dan politik.

Dalam pada itu, Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Amrin Amrin mendedahkan bahawa MHA sedang mengkaji semula Akta Mengekalkan Keharmonian Agama. Beliau berkata demikian semasa menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai usaha Pemerintah untuk menangani cabaran-cabaran yang boleh menggugat fabrik sosial Singapura.

Langkah tersebut, menurut Encik Amrin, penting demi memastikan keberkesanan dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat majmuk negara.

"Ini satu perkara yang penting untuk masyarakat kita kerana perpaduan sosial, keharmonian agama kita membolehkan masyarakat kita maju. Jadi kita harus terus bina identiti Singapura yang kuat dan pelihara budaya saling hormat-menghormati.

"Yang penting juga, kita menjangkau semua garisan agama dan membina kepercayaan dalam kalangan masyarakat kita," katanya.  

Sumber : CNA/RU/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan