Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengerusi Changi Airport Group syak amah bertahun-tahun curi

Pengerusi Changi Airport Group Liew Mun Leong sudah lama mengesyaki pembantu rumahnya mencuri barang-barang dari kediaman keluarganya, namun beliau ‘bertahan’ dengan sikapnya, beliau memberitahu mahkamah semalam (16 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Pengerusi Changi Airport Group syak amah bertahun-tahun curi

Bekas amah Encik Liew Mun Leong, Parti Liyani, dituduh curi barang-barang bernilai lebih S$50,000 daripada keluarganya. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 17 Aug 2018 09:31AM Dikemas Kini : 17 Aug 2018 01:01PM

SINGAPURA: Pengerusi Changi Airport Group Liew Mun Leong sudah lama mengesyaki pembantu rumahnya mencuri barang-barang dari kediaman keluarganya, namun beliau ‘bertahan’ dengan sikapnya, beliau memberitahu mahkamah semalam (16 Ogos).

Encik Liew memberi keterangan dalam perbicaraan bekas pembantu rumahnya dari Indonesia, Parti Liyani, yang didakwa mencuri barang-barang bernilai lebih S$50,000 daripada keluarganya.

"Setiausaha saya bekerja dengan saya selama 36 tahun," kata Encik Liew. "Pemandu saya bekerja dengan saya selama 15 tahun. Saya tidak akan memecat kakitangan saya tanpa sebab. Saya biasa meletakkan kepercayaan berlebihan."

Pembantu rumah berkenaan bekerja dengan keluarga Encik Liew selama lapan tahun sebelum mereka mula mencurigai amah berusia 44 tahun itu mencuri barang-barang mereka. Parti dipecat pada Oktober 2016.

Antara barang-barang yang dipercayai dicuri adalah dua beg Longchamp milik Encik Liew, jam tangan Gerald Genta rosak yang bernilai S$25,000 dan beg Prada bernilai S$1,000.

Selepas memecat Parti, keluarganya membuka tiga kotak yang ditinggalkan Parti untuk dikirimkan ke Indonesia. Mereka menemui barang-barang yang hilang dalam kotak-kotak tersebut.

Encik Liew membuat aduan polis pada bulan yang sama dan Parti diberkas pada Disember 2016 ketika kembali ke Singapura untuk mencari pekerjaan.

GEMAR KUMPUL BEG

Pada Khamis (16 Ogos), Encik Liew, 72 tahun, yang juga presiden pengasas CapitaLand Group, memberitahu mahkamah bahawa beliau "gemar mengumpul beg".

Beliau menolak saranan peguam bela dua beg yang hilang sebenarnya dibuang dan Parti yang mendapatkannya kembali.

"Saya tidak fikir begitu. Saya tidak boleh membayangkan sesiapa akan membuangnya," kata beliau.

Encik Liew berkata bahawa isterinya akan memberi beberapa barang yang tidak lagi dipakai kepada anak mereka, Karl, sebelum membuang atau mendermakan barang-barang tersebut jika beliau tidak lagi menginginkannya.

Encik Balchandani juga mendakwa bahawa isterinya akan menawarkan barang-barang yang tidak lagi diinginkan kepada Liyani.

Encik Liew berkata bahawa ia "tidak mungkin dilakukannya kerana beliau tahu saya sangat menyukai beg-beg".

"Isteri saya akan memberitahu saya," katanya. "Beliau sangat lokek dan hemat, jadi saya tidak boleh membayangkannya membuang barang-barang itu."

Encik Balchandani kemudian berkata: "Anda mempunyai banyak beg. Apa yang anda buat dengan kesemua beg itu?"

Encik Liew berseloroh: "Itu juga sedang saya fikirkan. Saya boleh buka kedai beg." Namun, beliau menegaskan bahawa beliau jarang membuang sebarang beg, meskipun sering membeli beg-beg yang baru.

PEGUAM TANYA JIKA ENCIK LIEW SERING SALAH LETAK BARANG

Encik Liew dan Encik Balchandani bertikam lidah tentang beberapa isu lain, misalnya peguam bela itu turut berhujah tentang kemungkinan Encik Liew salah letak barang-barang yang didakwa dicuri.

Pada satu masa, Encik Balchandani bertanya: "Adakah mungkin anda mempunyai banyak barang dan salah letak banyak barang? Apakah anda juga menemui barang-barang yang anda salah letak?"

Encik Liew menjawab: "Kebanyakan kita sering sukar menemui telefon bimbit dan kunci."

Peguam bela itu kemudian bertanya jika beliau pernah salah letak alat bantu pendengarannya yang bernilai S$1,000 pada sekitar 2014.

"Tidak, ia bernilai S$11,000," jawab Encik Liew, sebelum mengakui bahawa beliau "sering" salah letak alat pendengaran tersebut.

Encik Balchandani mengatakan bahawa alat itu ditemui Parti, dan bertanya jika Encik Liew ada menuduhnya mencuri alat tersebut.

"Saya tidak rasa saya akan menuduhnya, kerana alat pendengaran itu barang peribadi," katanya.

"Apa yang saya ingin ketengahkan di sini adalah, setiap kali sesuatu hilang, anda akan menyalahkan Parti," dakwa Encik Balchandani.

Encik Liew dengan keras menolak dakwaan tersebut: "Itu tidak benar. Itu karut."

Beliau juga menafikan bahawa beliau menuduh Parti semata-mata untuk "membalas dendam" terhadapnya.

"Tiada sebab bagi seorang seperti saya untuk sengaja menganiaya seorang pembantu rumah," kata Encik Liew. "Saya sedang cuba sedaya upaya untuk mencegahnya (kembali mencuri) demi kebaikan Singapura."

Peguam bela itu kemudian menegaskan bahawa sekiranya Parti ngin mencuri, beliau akan mengambil salah satu jamnya yang mahal.

"Tidak," kata Encik Liew. "Jam-jam disimpan dalam peti, dan saya rasa sangat ketara jika barang-barang itu dicuri."

Perbicaraan diteruskan semula hari ini (17 Ogos). Jika sabit kesalahan mencuri, Parti boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan didenda.

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan