Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengendap yang rakam wanita salin pakaian di Queenstown dipenjara 12 minggu

Seorang lelaki berusia 44 tahun dijatuhi hukuman penjara 12 minggu dan denda S$20,000 hari ini (31 Jul) atas kesalahan merakam wanita-wanita yang sedang menukar baju dan memiliki rakaman video lucah.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengendap yang rakam wanita salin pakaian di Queenstown dipenjara 12 minggu

(Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 31 Jul 2018 08:02PM Dikemas Kini : 31 Jul 2018 08:11PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 44 tahun dijatuhi hukuman penjara 12 minggu dan denda S$20,000 hari ini (31 Jul) atas kesalahan merakam wanita-wanita yang sedang menukar baju dan memiliki rakaman video lucah.

Lo Ji Sum, pengurus jualan, menemui rakan subahatnya Khoo Fook Mun, seorang eksekutif perkapalan yang sebaya dengannya, di laman web Sammyboy Forum.

Mereka menggunakan laman itu dan juga laman-laman web lain yang serupa, untuk menonton video-video wanita-wanita menanggalkan pakaian.

Dokumen mahkamah menyatakan mereka sudah saling mengenali selama lebih 20 tahun.

Pada awal Julai 2016, kedua-dua lelaki itu bertemu di kedai kopi dan kemudian merancang cara mengintai wanita menyalin pakaian di kawasan berdekatan.

Mereka merancang untuk berbuat demikian pada kira-kira 8.00 pagi ketika wanita-wanita pastinya sedang bersiap sedia untuk pergi bekerja, menurut dokumen mahkamah.

SASARAN DIPILIH DI KEDAI KOPI

Lo dan Khoo mengunjungi tiga blok di Queenstown kerana ia berdekatan dengan tempat kerja Khoo dan mereka boleh pergi ke kedai-kedai kopi berdekatan untuk makan.

Semasa mereka sedang makan, mereka memerhatikan unit-unit yang mempunyai lampu di dalamnya, dan kemudian mengintai unit-unit tersebut jika ada wanita di dalamnya.

Khoo berjaga-jaga semasa Lo merakam video mangsa-mangsanya. Mereka memilih unit-unit yang mempunyai jeriji dan tingkap perak, supaya telefon bimbit Lo yang berwarna perak, akan menjadi lebih sukar dilihat. Mereka berdua menjalankan rancangan tersebut kira-kira 15 kali pada Julai 2016.

Mangsa-mangsa mereka termasuklah sepasang adik-beradik perempuan berusia 29 dan 33 tahun.

Pada pagi 25 Jul 2016, adik-beradik itu berada di dalam bilik mereka dan sedang bersiap untuk ke kerja.

Kedua-dua lelaki itu melepasi unit mangsa apabila mereka sedang mencari wanita-wanita bersiap untuk ke kerja. Namun, mereka memerhatikan bahawa tingkap-tingkap pengatupnya tidak bercagar.

Lo menyelitkan iPhonenya di celah-celah tingkap itu, dengan kameranya memandang ke bawah. Dia memetik dua gambar dan merakam dua video salah seorang daripada adik-beradik itu, manakala Khoo berjaga-jaga.

Lo kemudian memetik dua gambar dan merakam dua video lagi seorang daripada adik-beradik itu.

Pada hari yang sama, Lo menggunakan fungsi Airplay di iPhonenya untuk menghantar dua video yang menayangkan perempuan pertama, kepada Khoo.

DIBERKAS POLIS DI QUEENSTOWN

Polis mengenal pasti kedua-dua lelaki itu dan memberkas mereka di lobi lif di Queenstown pada 1 Ogos 2016, semasa mereka sedang bersedia untuk mencari mangsa-mangsa lain.

Hari ini, Hakim Daerah Carol Ling menjatuhkan hukuman penjara 12 minggu kepada Lo, atas enam tuduhan mencabul kehormatan wanita, mengedarkan bahan-bahan lucah dan bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta Filem.

Lo juga dikenakan hukuman denda S$20,000 kerana memiliki video-video lucah dan video-video haram.

Rakan subahat Lo, Khoo, akan dihadapkan ke mahkamah bulan depan.

Lo boleh dipenjara sehingga setahun dan didenda kerana mencabul kehormatan seorang wanita, dan dipenjara sehingga tiga bulan dan didenda kerana mengedarkan bahan-bahan lucah melalui cara-cara elektronik.

Bagi kesalahan memiliki video-video lucah, dia boleh dikenakan hukuman denda sekurang-kurangnya S$100 bagi setiap video, dan sehingga S$20,000. 

Sumber : CNA/KN/kn
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan