Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengendali prasekolah seperti Star Learners sambut baik peluasan program kurangkan yuran

Sebelum ini ada sebilangan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pusat penjagaan privet seperti Star Learners Child Care di Sengkang Compassvale

Anggaran Waktu Membaca:
Pengendali prasekolah seperti Star Learners sambut baik peluasan program kurangkan yuran

Pengetua Star Learners di Sengkang Compassvale, Cik Tri Haryani Hamzah. (Gambar-gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Sebelum ini ada sebilangan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pusat penjagaan privet seperti Star Learners Child Care di Sengkang Compassvale, mengeluh bahawa yuran bulanan yang dikenakan cukup tinggi.

Suatu hakikat yang diakui Pengetua Star Learners di Sengkang Compassvale, Cik Tri Haryani Hamzah.

"Pada beberapa tahun yang lalu, memang ramai keluarga atau ibu bapa yang akan berjumpa dengan pengetua sekolah untuk meluahkan rasa prihatin mereka kerana yuran terlalu tinggi," kongsinya.

YURAN DARI $800 KEPADA $760

Namun kini ibu bapa dalam lingkungan kategori itu, boleh menarik nafas lega.

Ini selepas beberapa subsidi yang diumumkan sejak beberapa tahun lalu. ditambah pula dengan skim baru yang diumumkan semalam oleh pemerintah.

Dipanggil skim Pengendali Rakan Kongsi (POP) yang dikendalikan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA), 324 pusat prasekolah akan menyertai skim yang dibiayai pemerintah itu yang mengurangkan yuran prasekolah yang perlu dibayar ibu bapa.

Star Learners Child Care merupakan salah satu daripada prasekolah yang dilantik menyertai skim itu.

Mulai Januari tahun depan, had yuran pusat penjagaan kanak-kanak itu akan diturunkan daripada $800 kepada $760 bagi jagaan kanak-kanak sepanjang hari.

Yuran bagi jagaan bayi pula diturunkan daripada $1,370 kepada $1,330.

Secara umumnya, termasuk selepas subsidi, ibu bapa yang layak dianggarkan hanya perlu membayar antara $50-$100 sebulan bagi yuran jagaan kanak-kanak dan jagaan bayi sepanjang hari.

75% AKAN MANFAATKAN SKIM BARU

Cik Tri Haryani berkongsi sekitar 75% keluarga di 41 cawangan Star Learners Child Care mendapat manfaat skim itu dan sekitar 25% keluarga akan memanfaatkannya bagi cawangannya di Sengkang Compassvale ini.

"Pastinya dengan penurunan yuran seperti ini prasekolah akan memastikan bahawa pendidikan prasekolah akan tetap berkualiti dan terjangkau bagi semua kanak-kanak di Singapura terutama sekali dalam komuniti Melayu Singapura.

"Ini akan pasti sangat membantu untuk meringankan beban keluarga pada masa yang sangat-sangat tidak menentu seperti ini saya pasti ini akan sangat dihargai oleh ramai," kongsi beliau dengan pihak kami.

Secara keseluruhannya lebih daripada 27,000 kanak-kanak prasekolah akan mendapat manfaat yuran lebih rendah itu bermula tahun depan. Ini berbanding 20,000 murid prasekolah yang menerimanya sekarang ini.

Bantuan ECDA juga boleh digunakan bagi membantu membangunkan tahap profesionalisme tenaga kerja, sumber-sumber kurikulum selain kerja-kerja peningkatan di pusat-pusat Star Learners Child Care.

"Tenaga pekerja akan dihantar ke kursus-kursus ECDA dan selain daripada kursus-kursus daripada organisasi kami untuk meningkatkan mutu kerja guru-guru di sini seperti bagaimana untuk melatih anak-anak dan bagaimana untuk membuat pelan-pelan bagi mereka," ujarnya lagi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan