Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengendali forklift dipenjara kerana terima sogokan S$1 dari pemandu trak

Seorang pengendali trak angkat susun atau forklift dipenjara dan dikenakan denda kerana menerima suapan "bernilai kecil" daripada para pemandu trak di Depot Kontena Cogent, menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) hari ini (15 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Pengendali forklift dipenjara kerana terima sogokan S$1 dari pemandu trak

Zhao Yucun (kiri) dan Chen Ziliang (kanan) dipenjara dan dikenakan denda atas kesalahan rasuah. (Gambar: CPIB)

Diterbitkan : 15 Feb 2019 11:12PM Dikemas Kini : 15 Feb 2019 11:15PM

SINGAPURA: Seorang pengendali trak angkat susun atau forklift dipenjara dan dikenakan denda kerana menerima suapan "bernilai kecil" daripada para pemandu trak di Depot Kontena Cogent, menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) hari ini (15 Feb).

Zhao Yucun, seorang kakitangan di depot berkenaan, ditugaskan untuk mengendalikan trak angkat susun bagi memuat dan memunggah kontena dari trak.

Lelaki berusia 44 tahun itu menerima sogokan antara S$7 hingga S$10 setiap hari daripada para pemandu trak sebagai ganti untuk tidak melengahkan pemindahan kontena, jelas CPIB.

Apabila Zhao diberkas CPIB pada Mac 2018, duit syiling bernilai S$2.50 ditemui dalam pelindung lumpur trak angkat susun Zhao.

Dia dikatakan menerima sogokan sekitar S$10,865.50 antara 2 Sep 2013 hingga 12 Mac 2018.

Zhao dijatuhi hukuman penjara selama empat bulan dan didenda S$10,863 kerana menerima sogokan "bernilai kecil" daripada para pemandu trak, menurut CPIB.

SOGOKAN S$1 SATU KEBIASAAN

Zhao merupakan pengendali trak angkat susun kedua di depot berkenaan yang dijatuhi hukuman tahun ini atas kesalahan menerima rasuah. Bekas rakan sekerjanya, Chen Ziliang, turut didakwa kerana menerima sogokan daripada para pemandu trak di Cogent.

Pada 10 Jan, Chen dijatuhi hukuman penjara selama dua bulan dan didenda S$4,870.50, menurut CPIB.

Perbuatan rasuah itu terbongkar pada Okt 2017, apabila seorang pemandu trak bersemuka dengan Chen selepas menanti giliran terlalu lama.

"Chen kemudian memberitahu pemandu itu bahawa adalah lazim untuk para pemandu trak membayar S$1. Jika tidak, mereka perlu menanggung risiko menunggu giliran lebih lama atau diberikan kontena dalam keadaan teruk," menurut CPIB.

Siasatan CPIB juga mendedahkan bahawa Chen menerima sogokan berjumlah antara S$7 hingga S$10 setiap hari daripada para pemandu trak. Dia menerima sogokan dianggarkan sekitar S$4,872.50 antara 1 Feb 2016 dengan 12 Mar 2018.

"CPIB akan menjalankan siasatan sekalipun ia melibatkan jumlah serendah satu dolar. Ia tetap satu kesalahan," tambah CPIB.

"Singapura sama sekali tidak akan bertolak ansur terhadap tindakan rasuah. Menerima rasuah atau cuba untuk mendapatkan wang rasuah daripada individu atau entiti lain adalah kesalahan serius.

Mereka yang didapati melakukan kesalahan rasuah boleh didenda sehingga S$100,000 dan dipenjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan