Images
  • basikal sewa
    Basikal sewa di dalam Terusan Pelton dekat Aljunied Road. (Gambar: Guy Hoh)

Pengendali basikal sewa mesti mohon lesen jelang 7 Julai atau ditutup

SINGAPURA: Syarikat-syarikat basikal sewa diperlukan menyerahkan permohonan bagi mendapatkan lesen untuk beroperasi di tempat-tempat awam mulai 7 Julai tahun ini.

Demikian diumumkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam kenyataan medianya hari ini (4 Mei).

Langkah tersebut susulan kepada pembentangan Rang Undang-Undang (Pindaan) Tempat Meletak (kenderaan) pada bulan Mac lalu yang bertujuan menangani masalah meletak basikal sewa sembarangan.

Menurut LTA, ia akan mula menerima permohonan lesen mulai 8 Mei. Lesen tersebut membolehkan syarikat-syarikat basikal sewa seperti ofo, oBike dan Mobike beroperasi di ruang-ruang awam sehingga dua tahun.

Para pengendali basikal sewa sedia ada yang gagal menyerahkan permohonan menjelang tarikh 7 Julai itu mesti berhenti beroperasi serta-merta.

Para pengendali tanpa lesen boleh didenda sehingga S$10,000 dan/atau dipenjara sehingga enam bulan.

Syarikat-syarikat itu juga boleh dikenakan denda S$500 bagi setiap hari di mana kesalahan tersebut berterusan.

"Semasa menilai permohonan, LTA akan menimbangkan, antara faktor-faktor lain, keupayaan syarikat pengendali untuk menangani isu meletak basikal sembarangan, kadar penggunaan basikal setiap syarikat dan faktor-faktor lain yang relevan seperti permintaan bagi khidmat basikal sewa serta adanya tempat meletak basikal," menurut LTA dalam kenyataan media itu.

"Rekod sedia ada yang menunjukkan sama ada pengendali basikal sewa menangani masalah meletak basikal sembarangan juga akan dipertimbangkan semasa LTA menilai permohonan mereka," menurut LTA.

Di bawah undang-undang baru pelesenan yang dibentangkan pada bulan Mac lalu, LTA akan mengenakan syarat-syarat ke atas jumlah maksimum basikal sewa yang boleh dikendalikan setiap syarikat.

Menurut LTA, ia akan "mengambil pendekatan lebih konservatif" apabila menetapkan jumlah basikal sewa, memandangkan besarnya isu meletak basikal sembarangan di Singapura.

"Sungguhpun demikian, para pengendali yang berupaya menangani masalah tersebut dan memastikan basikal digunakan dengan baik akan dibenarkan menambah jumlah basikal," tambah LTA.

Di bawah rangka kerja pelesenan itu, para pengendali tertakluk kepada syarat-syarat dan piawai yang ditetapkan oleh LTA.

Tindakan kawalan atas kesalahan melanggar syarat-syarat tersebut termasuk mengurangkan jumlah basikal sewa, denda sehingga S$100,000 bagi setiap kali syarat tidak dipatuhi, lesen digantung atau ditarik balik.

Oleh itu, para pengendali mesti memastikan para pengguna basikal sewa masing-masing mengamalkan sikap bertanggungjawab semasa memilih meletakkan basikal di satu-satu tempat.

Ini termasuk mewajibkan mereka mengimbas kod QR unik di lokasi meletak basikal sebagai bukti ia sudah diletak di tempat yang betul sebelum menamatkan perjalanan dan terus memotong bayaran (dari kad debit/kredit) para pengguna yang meletak basikal sembarangan sehingga mereka mengembalikannya ke tempat yang sudah ditetapkan.

Para pengendali juga diperlukan untuk saling berkongsi data antara satu sama lain tentang pengguna yang meletak basikal sembarangan dan pengguna degil akan diharamkan oleh kesemua syarikat pengendali basikal sewa.

Para pengguna yang didapati meletak basikal sembarangan sekurang-kurangnya tiga kali dalam setahun tidak akan dibenarkan menggunakan basikal sewa dari kesemua syarikat pengendali. 

- CNA/NK/nk

Top