Images
  • singapore dollar money file ATM
    Gambar hiasan seorang pengguna keluarkan wang dolar Singapura dari mesin ATM (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Pengeluaran wang kertas, ATM dan cek susut dengan kebangkitan pembayaran digital

SINGAPURA: Sedang pembayaran digital kian popular, pengeluaran wang kertas dan pengeluaran dari ATM merosot dan cek pula semakin jarang digunakan, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Jumlah wang kertas S$2, S$5, S$10 dan S$50 yang dikeluarkan menjunam 24 peratus tahun lalu berbanding tahun sebelumnya. Pengeluaran wang tunai di ATM juga merosot 16 peratus kepada 172 juta urus niaga, manakala 36.4 juta cek diproses, penurunan 23 peratus.

Ini di tengah-tengah usaha untuk menggalak e-pembayaran, seperti perkhidmatan pemindahan dana online PayNow, sebagai alternatif yang mudah dan cara untuk mengurangkan kesan pada alam sekitar akibat menggunakan wang kertas dan cek fizikal, kata MAS dalam laporan kemampanan pertamanya yang diterbitkan pada Rabu (Jun 9).

"Kami menggalakkan penerapan e-pembayaran di Singapura yang akan membantu mengurangkan permintaan mata wang fizikal, yang pengeluaran dan pemprosesannya mempunyai kesan yang ketara pada alam sekitar," kata pengarah urusan Ravi Menon dalam laporan itu.

MAS juga sedang mengurangkan pengeluaran wang kertas baru semasa musim perayaan.

Sekitar 100 juta keping wang kertas baru dikeluarkan untuk Tahun Baru Cina dan perayaan lain setiap tahun. Namun, kebanyakan daripadanya "tidak diperlukan oleh orang ramai bagi penggunaan harian", terutama nota S$2, dan kebanyakannya dikembalikan ke MAS setelah setiap Tahun Baru Cina.

Ini adalah pembaziran sumber dan mengakibatkan pelepasan karbon yang keterlaluan, menurut bank pusat. Kira-kira 330 tan pelepasan karbon dihasilkan daripada pengeluaran wang kertas baru setiap Tahun Baru Cina.

Sebagai huraian, pihaknya memperkenalkan "program nota S$2 yang seperti baru" pada 2013, yang mengeluarkan semula wang kertas S$2 bermutu tinggi yang dikembalikan setelah tempoh perayaan. Ini menjimatkan sekitar 50 tan pelepasan karbon setahun.

Melangkah ke hadapan, MAS menyatakan ia sedang "secara progresif" mengurangkan pengeluaran nota S$2 baru untuk Tahun Baru Cina. Ia juga akan terus mempromosikan pemberian cara digital sebagai alternatif dan menggalak firma teknologi kewangan untuk mengembangkan huraian seperti itu.

Usaha lain bagi kelestarian alam sekitar termasuk bekerjasama dengan vendornya untuk menguruskan kesan karbon dan alam sekitar dalam mencetak wang kertas. Langkah-langkah yang diambil oleh pencetak yang dilantik termasuk mencari sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan mencetak wang kertas neutral karbon melalui pengimbangan karbon.

- CNA/TQ/tq

Top