Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengayuh basikal maut dalam nahas NTU mungkin terjatuh ke laluan bas: Siasatan koroner

Seorang wanita berusia 49 tahun mungkin hilang imbangan ketika cuba menaiki semula basikalnya di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), sebelum sebuah bas ulang-alik kampus menggilisnya, menyebabkan beliau terkorban.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengayuh basikal maut dalam nahas NTU mungkin terjatuh ke laluan bas: Siasatan koroner

(Gambar: Wong Siew Yuen/Facebook/Reddit)

Diterbitkan : 12 Oct 2021 01:31PM Dikemas Kini : 12 Oct 2021 01:35PM

SINGAPURA: Seorang wanita berusia 49 tahun mungkin hilang imbangan ketika cuba menaiki semula basikalnya di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), sebelum sebuah bas ulang-alik kampus menggilisnya, menyebabkan beliau terkorban.

Kemalangan yang melibatkan Wong Siew Yuen itu dianggap sebagai nahas jalan raya malang dan tidak disengajakan oleh koroner negara pada Isnin (11 Okt), menyusuli siasatan sehari.

Siasatan itu mendapati tiada bukti khianat berlaku dalam kematian warga negara Malaysia tersebut, kata Koroner Negara Adam Nakhoda, sambil menambah bahawa wanita itu baru sahaja membeli basikalnya dua minggu sebelum kemalangan maut pada 3 Mei.

Mahkamah koroner diberitahu bahawa Wong dan seorang rakan rapat yang juga rakan sekerjanya, Encik Tan Keng Hoon, memutuskan untuk pergi berbasikal pada hari cuti mereka. Mereka melakukan aktiviti berbasikal dan berlari selama kira-kira enam bulan sebelum malam itu.

Encik Tan memberitahu mahkamah bahawa ini adalah kali pertama Wong mengayuh basikal di Nanyang Drive di NTU, manakala Encik Tan pernah melakukannya sebelum itu. Beliau menyifatkan kawasan itu mudah untuk berbasikal dan kelajuan mereka santai sahaja.

Pasangan ini mula berbasikal kira-kira pukul 5.00 petang dari Jurong West Central 1, sepanjang Pioneer Road North ke Taman Yunnan NTU. Mereka berjalan-jalan dan minum sebelum berangkat untuk makan malam.

Encik Tan mengayuh di hadapan Wong, dengan pasangan itu akhirnya menyeberangi Nanyang Drive di persimpangan pejalan kaki sekitar pukul 8.40 malam.

Rakaman kamera daripada bas SBS yang melalui mereka menunjukkan bahawa setelah melakukan demikian, Wong berjalan sambil menolak basikalnya di sepanjang laluan pejalan kaki dan bukannya mengayuh.

Dia kemudian turun seketika daripada basikalnya dan kelihatan memandang ke bawah ke arah basikalnya sedang Encik Tan terus mengayuh.

Wanita itu dilihat memegang pemegang kiri basikal sambil membongkok dan melihat tayar belakang atau rantai basikalnya, kata Koroner Negara Nakhoda.

Pada saat itu, ada mungkin hilang imbangan semasa mahu menaiki semula basikalnya lalu terjatuh ke jalan raya Nanyang Drive di mana bas ulang-alik sedang bergerak, kata koroner.

Sedang bas ulang-alik menghampiri lintasan pejalan kaki, kamera bahagian belakang sebuah bas SBS yang melalui kawasan itu merakam Wong dan/atau basikalnya jatuh ke bahagian kiri bas.

Bas ulang-alik itu kemudian menggilis bahagian atas tubuh Wong, menyebabkan kecederaan pada bahagian kepala dan dada sekaligus menyebabkan wanita itu maut.

Pemandu bas berhenti apabila terdengar bunyi dari sebelah kiri belakang basnya. Encik Tan turun daripada basikalnya dan berlari ke arah Wong, sebelum menelefon ambulans setelah menyedari kepala wanita itu cedera parah.

Mereka tidak memakai topi keledar pada waktu itu dan menghidupkan lampu depan basikal mereka. Seorang pakar yang memeriksa basikal Wong berkata bahawa tiada bukti kemungkinan kerosakan mekanikal yang mungkin menyebabkan atau menyumbang kepada kemalangan itu.

Wong maut dengan serta-merta setelah digilis dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh seorang anggota paramedik.

Koroner Negara Nakhoda menyampaikan takziahnya kepada keluarga Wong atas pemergian wanita itu.

Belum jelas sama ada pemandu bas ulang-alik itu akan dikenakan sebarang dakwaan atas kematian Wong. Tujuan siasatan koroner bukan meletakkan tuduhan tetapi menentukan mengapa dan bagaimana satu-satu kematian berlaku.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan