Images
  • condo
    Gambar-gambar yang dikongsi menerusi media sosial menunjukkan pegawai-pegawai polis berhimpun di sebuah kondominium di barat Singapura pada 4 November 2018. 

Pengawal keselamatan dijel, dirotan kerana pecah masuk kondo, cabul amah

SINGAPURA: Seorang pengawal keselamatan yang memecah masuk ke dalam unit kondominium lalu mencabul kehormatan seorang pembantu rumah dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan tiga sebatan rotan pada Khamis (11 Julai).

Setelah kelakuannya terbongkar, Jeffry Ali, 33 tahun, melarikan diri dan memecah masuk ke dalam sebuah lagi unit, di mana dia mencuri seluar pendek milik seorang lelaki dan menghidupkan televisyen.

Mahkamah diberitahu bahawa ketika itu dia menghisap dadah. Ini dilakukannya secara kerap untuk berjaga ketika bekerja syif malam.

Pada awal pagi 4 November tahun lalu, Jeffry mengambil "batu" iaitu nama gelaran bagi dadah methamphetamine. Dia mengambil cuti sakit pada hari sebelumnya.

Namun, seorang penduduk di kondominium yang terletak di barat Singapura, yang tidak dinamakan dalam dokumen mahkamah, membenarkan Jeffry memasuki pekarangan kondominium itu kerana dia memakai seragam pengawal keselamatan.

DIBERKAS KETIKA SEDANG MEMAKAI SELUAR PENDEK MANGSA

Jeffry diberkas pada lewat hari yang sama di tempat letak kereta bawah tanah kondominium itu. Dia sedang memakai seluar pendek milik salah seorang mangsa pecah masuk dan wang yang dicurinya masih dibawanya.

Para pegawai polis memeriksa unit di mana Jeffry mencabul kehormatan pembantu rumah tersebut dan menemui kad identiti pengawal keselamatan privet dan juga kad debit POSB Passion milik Jeffry.

Para pegawai juga menemui pemetik api berwarna merah dan perkakas kaca dengan straw biru.

Hasil ujian air kencing Jeffry didapati mengandungi methamphetamine, yang diakuinya diambil pada sekitar 2.00 pagi semasa dia bersendirian di sebuah taman. Dia berkata dia menghisap "batu" selama sekitar lapan tahun, dan mengambilnya dua hingga tiga kali seminggu supaya dapat berjaga ketika bekerja syif malam sebagai pengawal keselamatan.

Jeffry mengaku bersalah atas satu tuduhan mencabul kehormatan pembantu rumah, memecah masuk dengan tujuan mencuri dan mengambil methamphetamine. Empat lagi tuduhan diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Atas kesalahan menimbulkan perasaan takut untuk mencederakan pembantu rumah itu atas tujuan untuk mencabul kehormatannya, Jeffry boleh dihukum penjara antara dua hingga 10 tahun dan disebat. 

- CNA/ZM/zm

Top