Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengasuh dijatuhi hukuman penjara 7 tahun kerana racun dua bayi dengan pelbagai ubat

Seorang pengasuh bayi dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun pada Isnin (7 Dis) kerana meracun dua bayi dalam jagaannya empat tahun lalu dengan pelbagai ubat-ubatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengasuh dijatuhi hukuman penjara 7 tahun kerana racun dua bayi dengan pelbagai ubat

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 07 Dec 2020 01:01PM Dikemas Kini : 07 Dec 2020 01:05PM

SINGAPURA: Seorang pengasuh bayi dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun pada Isnin (7 Dis) kerana meracun dua bayi dalam jagaannya empat tahun lalu dengan pelbagai ubat-ubatan.

Sa'adiah Jamari, 39, berkata bahawa dia tidak melakukan kesalahan itu terhadap bayi-bayi tersebut - berusia lima dan 11 bulan ketika itu - dan akan mengemukakan rayuan.

Para ibu kepada kedua-dua anak itu, yang tidak ada kaitan persaudaraan, mengupah jururawat berdaftar Sa'adiah pada lewat 2016. Mereka menyedari anak-anak mereka mengantuk dan ada sesuatu tidak kena selepas mengambil mereka pulang.

Kedua-dua anak itu dimasukkan ke hospital dan ubat-ubatan didapati dalam sistem tubuh mereka dan ini membentuk dua tuduhan pemberian racun yang dicabar Sa'adiah.

Pelbagai jenis ubat dikesan termasuk Alprazolam atau Xanax untuk merawat keresahan, ubat penenang dan ubat tidur.

Sebahagian ubat-ubatan itu dijumpai di rumah Sa'adiah dan dua daripadanya diberikan oleh doktor. Dalam pembelaannya semasa perbicaraan, Sa'adiah menafikan dia memberikannya kepada bayi-bayi itu dan peguamnya berhujah bahawa nenek kepada mangsa pertama mungkin telah memasukkan sejumlah kecil ubat-ubatan itu ke dalam makanan bayi tersebut.

JAWATAN JURURAWAT BUKAN FAKTOR KERINGANAN: PENDAKWA

Pihak pendakwaan meminta hukuman penjara tujuh tahun yang dijatuhkan sambil menolak hujah pembelaan bahawa sumbangan Sa'adiah kepada masyarakat sebagai seorang jururawat harus menjadi faktor keringanan.

Pihak pendakwa berkata ia tidak sepatutnya dianggap sebagai faktor keringanan dan sebaliknya boleh dilihat sebagai faktor memberatkan hukuman
kerana Sa'adiah tahu tentang kesan ubat-ubatan itu tetapi tetap memberikannya kepada bayi-bayi itu.

Pihak pembelaan juga berhujah bahawa terdapat kelengahan dalam prosiding, merujuk kepada bagaimana pegawai penyiasat telah diarahkan selewat perbicaraan untuk menjalankan siasatan lanjut.

Hakim Daerah John Ng mengambil perhatian bahawa Sa'adiah ialah seorang jururawat bebas yang menerima tugas dari hospital dan mempromosikan dirinya sebagai seorang jururawat dalam iklannya bagi khidmat menjaga dan mengasuh kanak-kanak.

Kesalahan memberi racun dengan niat untuk menyakiti adalah sangat berat, dengan hukuman penjara agak lama dianggap wajar, kata hakim.

FAKTOR-FAKTOR UTAMA KES

Salah satu faktor utama dalam kes ini adalah usia mangsa yang sangat muda, iaitu "bayi-bayi tidak berdaya yang bergantung sepenuhnya kepada penjaga mereka", kata Hakim Ng.

Faktor-faktor lain adalah jenis ubat-ubatan, yang membahayakan nyawa mangsa, kepercayaan yang tinggi diberi kepada Sa'adiah oleh ibu-ibu bayi, dan perlunya hukuman tegas terhadap tindakan sedemikian.

Hakim Ng bersetuju dengan hukuman yang diminta oleh pihak pendakwa, dan menambah bahawa Sa'adiah "tidak menunjukkan rasa kesal" dan "tidak bekerjasama dengan agensi-agensi siasatan".

Beliau mengambil perhatian terdapat usaha untuk memohon hukuman lebih ringan berdasarkan gangguan psikiatri yang dikatakan dialami oleh Sa'adiah, tetapi berkata ini "bukan faktor pertimbangan" kerana tidak ada kaitan penyebab antara gangguan itu dengan perbuatan kesalahannya.

Bagi setiap tuduhan memberi racun dengan niat untuk menyakiti, Sa'adiah boleh dipenjara hingga 10 tahun dan didenda. Dia tidak boleh disebat kerana dia seorang wanita. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan