Images
  • gavel
    Gambar hiasan. (Gambar: Jeremy Long)

Pengasuh didakwa racun bayi berkata bohong, kata pendakwa

SINGAPURA: Seorang pengasuh yang sedang dibicarakan kerana meracuni dua kanak-kanak dalam jagaannya didapati mempunyai ubat yang sama dalam sistem tubuhnya dengan yang dijumpai dalam tubuh bayi-bayi tersebut, mahkamah diberitahu pada Rabu (15 Jul).

Sa'adiah Jamari, seorang pengasuh bebas dan jururawat berdaftar, disoal oleh pendakwa, yang berulang kali menegaskan bahawa dia berbohong untuk "menjauhkan dirinya" daripada dikaitkan dengan ubat-ubatan yang terdapat pada bayi-bayi itu.

Mahkamah juga diberitahu bahawa Sa'adiah, 38, telah mengaku kepada polis yang dia telah menghancurkan setengah daripada satu pil ubat selesema dan memberikannya kepada salah seorang bayi itu, tetapi dia menafikannya di mahkamah, dengan berkata polis membangkitkan kemarahannya sehingga dia berkata begitu.

Sa'adiah, yang sendiri mempunyai dua anak perempuan, mencabar dua tuduhan memberi racun kepada bayi-bayi itu - berumur lima bulan dan 11 bulan - dalam dua kes yang berasingan pada 2016.

Sebahagian daripada ubat-ubat yang dimiliki Sa'adiah diberikan atas arahan doktor.

Pada waktu kesalahan dilakukan, Sa'adiah menggunakan sekurang-kurangnya tiga ubat yang kemudian dijumpai pada salah satu bayi itu. Ubat-ubat itu adalah Zolpidem, Xanax untuk keresahan dan Diazepam.

Mahkamah diberitahu bahawa menurut rekod perubatan, ubat-ubatan yang didapati dalam sistem tubuh Sa'adiah pada September 2016 sama dengan ubat-ubatan yang didapati dalam bayi-bayi itu beberapa bulan kemudian.

PENDAKWA SOAL TERTUDUH TENTANG PERCANGGAHAN

Timbalan Pendakwa Raya Seah Ee Wei pada Rabu menyoal Sa'adiah mengenai dakwaan banyak percanggahan antara keterangan lisannya dengan dokumen pembelaannya, yang difailkan pada Ogos 2019.

"Saya katakan kepada anda bahawa anda berkata bohong kerana anda mahu menjauhkan diri daripada dikaitkan dengan ubat-ubatan yang terdapat pada bayi-bayi itu," kata Cik Seah.

Sa'adiah tidak bersetuju.

Dia juga tidak bersetuju dengan beberapa kenyataan oleh Cik Seah, yang berkata Sa'adiah berbohong untuk menjauhkan dirinya daripada dikaitkan dengan ubat-ubatan yang terdapat pada bayi itu dengan mendakwa bahawa dia tidak diberikan ubat itu oleh doktor mahupun mengambil beberapa ubat walaupun rekod perubatan menunjukkan sebaliknya.

ADAKAH DIA BERI BAYI UBAT SELESEMA?

Mahkamah diberitahu bahawa Sa'adiah berkata dalam satu kenyataan kepada polis bahwa dia telah menghancurkan setengah pil ubat selesema dan membancuhnya dengan air untuk diberikan kepada bayi yang lebih kecil.

Ini kerana bayi itu mengalami selesema dan ibunya dikatakan bertanya kepada Sa'adiah jika dia mempunyai sebarang ubat. Difahamkan, Sa'adiah mengatakan dia mempunyai ubat selesema tetapi mengatakan bahawa ubat itu bukan untuk kanak-kanak.

Namun, bila disoal oleh pendakwa, Sa'adiah berkata pada Rabu bahawa dia akhirnya tidak memberikan ubat itu kepada bayi tersebut.

Dia menambah dia sebelum ini mengaku memberi setengah pil kepada bayi itu kerana "provokasi polis".

Apabila ditanya oleh pendakwa sama ada dia berbohong dalam kenyataan polisnya, Sa'adiah berkata "ya, itu bohong".

Pendakwa juga menegaskan bahawa Sa'adiah sebenarnya tidak mengambil berat tentang bayi-bayi itu, kerana dia meracuni mereka dan sengaja menyakiti mereka, tetapi Sa'adiah tidak setuju.

Apabila disoal disiasat oleh peguam bela Chua Eng Hui dari Luo Ling Ling LLC, Sa'adiah menangis di kandang saksi.

Perbicaraan diteruskan. Sekiranya didapati bersalah kerana menggunakan racun dengan niat untuk menyebabkan kesakitan, Sa'adiah boleh dipenjara hingga 10 tahun dan didenda. Dia tidak boleh dirotan kerana dia seorang wanita.

- CNA/TQ/tq

Top