Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengasuh didakwa racun 2 bayi, seorang dimasukkan hospital

 Seorang pengasuh dituduh meracun dua bayi di bawah jagaannya dengan memberi mereka ubat termasuk pil tidur dan ubat untuk masalah kegelisahan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengasuh didakwa racun 2 bayi, seorang dimasukkan hospital

(Gambar hiasan: AFP/Getty Images/Joe Raedle)

Diterbitkan : 19 Feb 2020 11:38PM Dikemas Kini : 19 Feb 2020 11:41PM

SINGAPURA: Seorang pengasuh dituduh meracun dua bayi di bawah jagaannya dengan memberi mereka ubat termasuk pil tidur dan ubat untuk masalah kegelisahan.

Sa'adiah Jamari, 38 tahun, pada Selasa (18 Feb)dituduh atas dua kesalahan memberikan racun kepada seorang bayi berusia lima bulan dan seorang lagi berusia 11 bulan pada 2016.

Kedua-duanya tiada kaitan antara satu sama lain.

Mahkamah diberitahu bahawa Sa'adiah adalah seorang jururawat berdaftar sejak 2002 dan mengiklankan khidmat jururawat bebas di online.

Ibu kepada bayi berusia lima bulan itu memberi keterangan di mahkamah pada Selasa bagaimana beliau mendapati anak perempuannya kerap mengantuk dan suka meragam setiap kali beliau membawanya pulang dari rumah Sa'adiah.

Beliau mendapatkan khidmat Sa'adiah setelah wanita itu menjawab notis yang beliau letakkan di Facebook bahawa beliau amat memerlukan pengasuh Muslim bagi kedua-dua anak perempuannya yang berusia lima tahun dan lima bulan.

Wanita itu tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah untuk melindungi identiti anaknya.

Kali pertama Sa'adiah menjaga kedua-dua anaknya pada awal November 2016, si ibu menyedari anak perempuannya yang berusia lima bulan "suka meragam" dan "gelisah di atas katil".

IBU SEDAR BAYINYA KERAP MENGANTUK

Selang beberapa kali, si ibu mula sedar bayinya kerap dalam keadaan mengantuk setiap kali beliau menjemputnya dari rumah Sa'adiah.

Bahkan bayinya meragam dan akan membuang botol apabila diberi susu.

Bayinya juga sukar mengenal pasti arah datangnya suara apabila diajak berbual.

Setelah perkara itu berlaku tiga atau empat kali, beliau membawa anaknya ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK pada November 2016 bagi menjalani pemeriksaan.

Seorang karyawan penjagaan kesihatan berkata bayinya kelihatan "baik", tetapi wanita itu bertegas agar ujian darah dijalankan, Hasil keputusan adalah biasa.

"Saya sedih," menurut wanita itu, yang menjadi emosi di mahkamah. "Naluri saya sebagai seorang ibu bercanggah dengan pemeriksaan perubatan... apa yang sedang berlaku kepadanya tidak diakui... Tetapi saya bersangka baik."

Menurutnya, beliau tidak ada bukti bahawa sebarang perkara berbahaya dilakukan terhadap anaknya. Malah disebabkan tiada sesiapa yang boleh menjaga anaknya pada ketika itu, beliau terus menghantarnya ke rumah Sa'adiah.

Menurut kertas pertuduhan, Sa'adiah memberikan 10 jenis ubat kepada bayi berusia lima bulan itu yang termasuk: Alprazolam, juga dikenali sebagai Xanax, bagi merawat masalah kegelisahan; Orphenadrine, ubat legakan otot-otot ; Zolpidem, untuk membantu tidur serta beberapa lagi ubat merawat keresahan dan ketagihan arak seperti Oxazepam dan diazepam.

Selepas membuat aduan polis pada lewat Disember 2016, ibu mangsa pertama terlihat satu catatan Facebook yang viral mengenai seorang pengasuh yang disyaki meracun kanak-kanak.

Jika sabit kesalahan memberi racun dengan niat menyakiti mereka, Sa'adiah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda. Hukuman sebat tidak boleh dikenakan kepada wanita.  

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan