Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengasas Twelve Cupcakes Daniel Ong dan Jaime Teo didakwa langgar undang-undang pekerjaan

Para pengasas Twelve Cupcakes Daniel Ong dan Jamie Teo didakwa di mahkamah pada Selasa (29 Dis) kerana melanggar undang-undang pekerjaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengasas Twelve Cupcakes Daniel Ong dan Jaime Teo didakwa langgar undang-undang pekerjaan

Pengasas Twelve Cupcakes Daniel Ong dan Jaime Teo. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 29 Dec 2020 12:37PM Dikemas Kini : 29 Dec 2020 12:51PM

SINGAPURA: Para pengasas Twelve Cupcakes Daniel Ong dan Jamie Teo didakwa di mahkamah pada Selasa (29 Dis) kerana melanggar undang-undang pekerjaan.

Ong, 45, dikenakan 24 tuduhan di bawah Akta Pengambilan Tenaga Kerja Asing bagi kesalahan-kesalahan yang dipercayai dilakukan semasa dia menerajui rangkaian syarikat itu.

Ong dituduh membenarkan Twelve Cupcakes membayar jumlah gaji yang kurang atau gagal membayar gaji dalam tempoh yang tetap kepada lapan pekerja asing yang bekerja di kedai itu antara September 2012 dengan Disember 2016.

Kebanyakan tuduhan itu melibatkan kesalahan membayar jumlah gaji yang kurang kepada lapan pekerja, yang gaji mereka ditetapkan antara S$2,000 dengan S$2,600 sebulan.

Ong juga dituduh membenarkan Twelve Cupcakes gagal membayar gaji bulanan S$2,000 kepada seorang pekerja, dalam jangka masa ditentukan, sebanyak tiga kali.

Ong tiba di mahkamah pada Selasa bersama isterinya Fay Tan. Peguamnya, Kalaithasan Karuppaya dari Regent Law, memberitahu mahkamah bahawa beliau baru sahaja diberitahu mengenai kes itu dan akan mengambil arahan daripada anak guamnya.

Kesnya dibenarkan untuk ditangguhkan untuk empat minggu.

Bekas DJ radio Ong menubuhkan Twelve Cupcakes pada 2011 bersama isterinya pada ketika itu, Jamie Teo, yang dikahwininya pada 2007. Mereka bercerai pada 2016 dan menjual syarikat itu beberapa bulan kemudian kepada Dhunseri Group, sebuah syarikat berpangkalan di India.

Teo dikenakan tuduhan serupa selepas dia tiba lewat lebih sejam di mahkamah bersama peguam Diana Ngiam dari Quahe Woo & Palmer.

Cik Ngiam berkata beliau berterima kasih bahawa pihak pendakwa akan mengubah tuduhan-tuduhan untuk mencerminkan kecuaian Teo dalam hal itu berbanding melanggar undang-undang secara sengaja.

"Malangnya, dia membiarkan orang lain menguruskannya," kata Cik Ngiam. "Meskipun begitu, kami berterima kasih bahawa pihak pendakwa memohon denda."

Beliau berkata Teo merancang untuk mengaku bersalah.

Jika sabit kesalahan melanggar syarat-syarat pas kerja, Ong dan Teo boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga setahun, denda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya bagi setiap tuduhan.

Kedua-duanya akan kembali ke mahkamah bulan depan.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan