Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengasas bersama TOC: Motif adalah kunci bezakan maklumat palsu daripada pandangan jujur

Motif di sebalik isi kandungan harus diteliti semasa menentukan jika seseorang sengaja melakukan kesalahan menyebarkan maklumat palsu di platform-platform online. Ini perlu dilakukan supaya tidak menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengasas bersama TOC: Motif adalah kunci bezakan maklumat palsu daripada pandangan jujur

Encik Andrew Loh, pengasas bersama TOC semasa perbincangan Jawatankuasa Pilihan mengenai kepalsuan online yang disengajakan.

Diterbitkan : 29 Mar 2018 09:16AM Dikemas Kini : 29 Mar 2018 09:30AM

SINGAPURA: Motif di sebalik isi kandungan harus diteliti semasa menentukan jika seseorang sengaja melakukan kesalahan menyebarkan maklumat palsu di platform-platform online. Ini perlu dilakukan supaya tidak menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara.

Perkara ini dikemukakan Encik Andrew Loh, pengasas bersama laman sosiopolitik The Online Citizen (TOC) dalam pembentangannya kepada jawatankuasa parlimen yang sedang mengkaji isu bagi menangani kepalsuan online yang disengajakan.

Encik Loh juga menekankan bahawa perlu ada pendekatan "sikap sabar dan toleran" bagi membuka ruang untuk perdebatan sengit. Selain itu, beliau sekali lagi menyarankan supaya sebuah badan bebas ditubuhkan untuk menangani kes-kes seperti ini. Perkara ini dibentangkan semasa perbincangan awam pada Rabu (28 Mac).

Menurutnya, ia akan mengambil "masa yang lama dan menggunakan sumber-sumber awam secara tidak berkesan" jika kes kepalsuan online disengajakan dibicarakan di mahkamah. Hanya "kes-kes yang sangat serius", seperti yang mengancam keselamatan negara dan pengganasan, perlu dibicarakan di mahkamah, tambah beliau.

DAMPINGI MEDIA ALTERNATIF, WARTAWAN BEBAS

Encik Loh turut menyatakan bahawa Pemerintah perlu mendampingi media alternatif. Dalam pembentangan lisannya, beliau berkata "semua" harus dilibatkan dalam usaha menangani masalah kepalsuan online yang disengajakan.

Dalam usaha ini, Pemerintah juga digesa supaya mendampingi wartawan-wartawan platform lain. Ini boleh dilakukan, kata beliau, dengan menubuhkan dana bagi membantu penulis online dan penulis blog untuk memperbaiki penulisan dan kemahiran kewartawanan mereka. Mereka yang mahir dalam bidang kewartawanan dan perundangan juga boleh menawarkan kepakaran mereka untuk menganjurkan kelas atau bengkel.

Langkah seperti ini "akan memberi isyarat kepada orang awam tentang kedudukan Pemerintah yang tidak hanya memberi amaran dan menghukum tetapi juga membangun", memainkan peranan dengan memberi peluang kepada mereka yang menyebarkan maklumat untuk mempertingkat kemahiran.

Langkah seperti ini "juga dapat membantu mengubah persepsi bahawa pemerintah menghalang mereka untuk memberi pandangan", tambah beliau dalam keterangan bertulisnya. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan