Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengarah eksekutif NCID jelaskan bagaimana varian Delta cetus lonjakan kes COVID di S'pura

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Jumaat (24 Sep) berkata di sebalik pelbagai langkah pengurusan selamat yang dilaksanakan di Singapura, virus COVID-19 varian Delta "terus merebak di luar jangkaan".

Anggaran Waktu Membaca:
Pengarah eksekutif NCID jelaskan bagaimana varian Delta cetus lonjakan kes COVID di S'pura

Orang ramai di luar stesen MRT Paya Lebar. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 27 Sep 2021 08:01PM Dikemas Kini : 27 Sep 2021 10:12PM

SINGAPURA: Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Jumaat (24 Sep) berkata di sebalik pelbagai langkah pengurusan selamat yang dilaksanakan di Singapura, virus COVID-19 varian Delta "terus merebak di luar jangkaan".

"Ia menular dalam masyarakat dan menyebabkan kes harian meningkat lebih pantas daripada yang dijangkakan, sebelum kita dapat melaksanakan sepenuhnya rancangan yang dipertingkatkan dan sebelum sistem sokongan siap sepenuhnya," kata Encik Ong di sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 di mana lebih banyak langkah sekatan diumumkan.

Namun Encik Ong berkata ini merupakan ciri virus itu, dan demi mengelakkan daripada menambah beban pada sistem jagaan kesihatan negara ini, Singapura "berhenti sejenak" untuk memperlahankan kenaikan kes harian sementara ia mempertingkatkan rancangan untuk menambah jumlah katil di hospital bagi pesakit COVID-19 dan langkah-langkah lain.

"Ini sesuatu yang perlu dihadapi setiap negara dan tidak dapat dielakkan, jika kita mahu terus hidup dengan COVID-19 dan menjalani kehidupan seperti biasa. Jadi kami perlu mengharungi gelombang jangkitan ini sebaik mungkin dan dengan selamat."

Pada Isnin, Singapura melaksanakan semula kumpulan dua orang yang telah divaksin untuk makan di luar dan perhimpunan sosial, serta aturan bekerja dari rumah menjadi aturan pilihan.

Apakah bezanya varian Delta sehingga menyebabkan lonjakan kes COVID-19 begitu pantas? Profesor Leo Yee Sin, pengarah eksekutif di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) menjelaskan:

VARIAN PALING MUDAH MEREBAK

Dalam satu kajian yang membandingkan antara varian Alpha (B.1.1.7), Beta (B.1.315) dan Delta (B.1.617.2), NCID mendapati bahawa varian Delta paling mudah merebak.

Berbanding dengan virus jenis liar, kesemua Varian Membimbangkan mempunyai nilai Ct lebih rendah yang menunjukkan jumlah zarah virus yang lebih tinggi menggunakan ujian tindak balas berantai polimerase (PCR).

Nilai Ct yang lebih rendah bermakna kurang kitaran diperlukan untuk menghasilkan cukup bahan virus bagi ujian itu, lantas terdapat lebih banyak zarah virus. Dalam kalangan ketiga-tiga Varian Membimbangkan, Delta mempunyai nilai Ct yang paling rendah.

"Terdapat pengeluaran zarah virus yang lebih ketara dalam kalangan kes Delta. Kajian juga menunjukkan bahawa pesakit terkena jangkitan Delta lazimnya menghidap radang paru-paru dan lebih banyak kes varian Delta memerlukan bantuan oksigen/ICU dan (menyebabkan) kematian," kata Profesor Leo.

LEBIH RAMAI PERLUKAN BANTUAN OKSIGEN

NCID mengkaji 1,109 pesakit COVID-19 yang tidak divaksin dan dimasukkan ke pusat itu dari Februari hingga Disember 2020, Mereka dibandingkan dengan 1,113 pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke NCID antara 28 April dengan 26 Ogos tahun ini.

Dalam kalangan 1,113 pesakit yang dimasukkan ke NCID pada 2021, 750 (67.4 peratus) mempunyai data tentang varian dan sebilangan besar iaitu 99.6 peratus dijangkiti varian Delta.

Sebilangan besar pesakit COVID-19 yang belum divaksin dan sudah menerima satu dos vaksin berusia lebih 50 tahun dalam kumpulan 2021 memerlukan bantuan oksigen (31 peratus) berbanding dengan 11.4 peratus bagi pesakit belum divaksin dalam kumpulan usia yang sama bagi kumpulan 2020 (14.1 peratus).

Ini menunjukkan kaitan varian Delta dengan keperluan lebih tinggi bagi bantuan oksigen dalam kalangan pesakit belum divaksin berbanding dengan varian jenis liar.

Dalam kalangan 633 pesakit COVID-19 yang berusia 50 tahun dan ke atas yang dimasukkan ke NCID pada 2021, purata pesakit yang memerlukan bantuan oksigen merupakan yang tertinggi dalam kumpulan pesakit belum divaksin iaitu 38.9 peratus berbanding dengan 19.3 peratus bagi kumpulan pesakit yang sudah menerima satu dos vaksin dan 3.7 peratus bagi kumpulan pesakit yang sudah mendapatkan suntikan penuh vaksin.

Selain itu, 1.7 peratus daripada pesakit yang sudah lengkap divaksin berusia 50 tahun dan ke atas memerlukan rawatan intensif atau kebergantungan tinggi berbanding dengan 12.1 peratus dalam kalangan pesakit COVID-19 yang belum divaksin atau sudah menerima satu dos vaksin berbanding kumpulan usia yang sama pada 2021.

PERLINDUNGAN VAKSIN

"Dapatan ini menunjukkan keberkesanan vaksin. Selain itu, satu dos suntikan vaksin juga mungkin menawarkan sedikit perlindungan sebelum mereka selesai menjalani rejimen dua dos vaksin," kata Profesor Leo.

"Namun harus ditekankan bahawa seseorang itu perlu selesai mengambil dua dos vaksin bagi mendapatkan keberkesanan perlindungan yang maksimum."

Menurutnya lagi, "lazimnya pesakit yang menerima vaksin penuh menghidap penyakit lebih ringan dan kebanyakannya akan sembuh, melainkan jika mereka menghidap penyakit lain yang menyebabkan mereka mudah terjejas."

Selain itu, kajian NCID menunjukkan bahawa walaupun varian Delta boleh menyebabkan jangkitan dalam sesetengah individu yang divaksin, sistem imun tubuh mengekalkan cukup daya tahan untuk mencegah virus itu daripada bertambah.

Ini turut mengelakkan daripada pesakit itu menghidap jangkitan teruk pada minggu kedua mereka terkena jangkitan, kata Profesor Leo.

Jumlah zarah virus merosot lebih cepat dalam individu yang sudah divaksin berbanding mereka yang belum divaksin. Ini bermakna individu yang sudah divaksin menjadi kurang berjangkit dengan lebih cepat lagi.

DAYA TAHAN TUBUH SELEPAS VAKSINASI

Setakat 25 September, 82 peratus penduduk Singapura sudah selesai menjalani rejimen penuh vaksinasi COVID-19.

Sementara program vaksinasi masih dijalankan, NCID bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Tenaga Manusia untuk memantau respons jangka panjang sistem daya tahan tubuh dalam kumpulan berisiko tinggi.

Ini termasuk warga emas yang mudah terjejas dari kemudahan jagaan, petugas barisan hadapan dan pekerja hijrahan. Sekitar 1,800 orang terlibat dalam kajian itu yang dijangka diadakan sepanjang dua tahun.

Ini membolehkan NCID untuk memantau bagaimana vaksin perangsang mungkin menjejas tahap daya tahan tubuh terhadap COVID-19. Kajian selama dua tahun itu juga akan membantu untuk mengenal pasti faktor-faktor risiko jangkitan dan bagaimana vaksin itu dapat melindungi kumpulan berisiko tinggi tertentu daripada dijangkiti COVID-19 apabila ia menjadi endemik.

Dapatan itu sejauh ini menunjukkan bahawa antibodi dalam kalangan individu lebih berusia semakin merosot namun ini tidak bermakna bahawa vaksin itu tidak berkesan. Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa mereka yang berusia lebih 50 tahun yang sudah divaksin kurang kemungkinan akan menghidap penyakit lebih teruk berbanding mereka yang belum divaksin.

Singapura mengumumkan suntikan vaksin perangsang akan diberikan kepada warga emas yang berusia 50 tahun dan ke atas.

GELOMBANG KE-4 PANDEMIK

Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi cara COVID-19 bertindak, kata Profesor Leo dan ini disukarkan lagi dengan ciri-ciri SARS-CoV-2 yang sukar diramalkan.

Seperti virus RNA yang lain, SARS-CoV-2 berupaya untuk bermutasi supaya dapat terus bertahan hidup. Varian Delta adalah satu contoh virus agresif dan lebih mudah merebak sekali gus menjangkiti individu lain dengan pantas.

Ia dapat menembusi batasan perlindungan daya tahan Singapura, menjadikan vaksin kurang berkesan untuk mencegah jangkitan dan mengurangkan keberkesanan perlindungannya terhadap jangkitan teruk. Maklumat yang diketahui hari ini mungkin tidak lagi boleh diguna pakai pada bulan seterusnya kerana berlaku perubahan.

"Dengan cabaran-cabaran ini, walaupun lebih 80 peratus penduduk sudah mendapatkan perlindungan vaksin, kami melihat banyak kes baru dan lebih banyak kes yang memerlukan bantuan oksigen," kata Profesor Leo.

"Lonjakan kes COVID-19 sekarang ini mengingatkan kita supaya jangan leka dan pentingnya untuk terus mengumpulkan lebih banyak data untuk mengetahui lebih lanjut tentang virus itu, dan mengorak langkah secara berhati-hati dan bertindak pantas dalam respons kepada virus itu." 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan