Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penganggur 29 tahun dijel 8 bulan kerana tendang mata, cucuk puntung rokok pada tangan anak tiri

Seorang lelaki berusia 29 tahun dijatuhi hukuman penjara selama lapan bulan pada Isnin (7 Jan) kerana mencederakan anak tirinya menggunakan sebatang rokok yang dinyalakan.

Anggaran Waktu Membaca:
Penganggur 29 tahun dijel 8 bulan kerana tendang mata, cucuk puntung rokok pada tangan anak tiri

Gambar hiasan puntung rokok (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 07 Jan 2019 10:56PM Dikemas Kini : 07 Jan 2019 10:59PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 29 tahun dijatuhi hukuman penjara selama lapan bulan pada Isnin (7 Jan) kerana mencederakan anak tirinya menggunakan sebatang rokok yang dinyalakan.

Penganggur itu, yang tidak boleh didedahkan namanya bagi melindungi identiti mangsa, mengaku bersalah kerana menganiaya budak tersebut, dengan satu lagi tuduhan turut diambil kira.

Mahkamah diberitahu bahawa lelaki itu tinggal dengan mangsa yang ketika itu berusia sembilan tahun, bersama-sama dengan abang dan ibu kandung budak itu.

Pada 4 November 2017, mangsa tertidur semasa menonton televisyen bersama abang dan bapa tirinya.

Bapa tirinya mencucuk rokok yang menyala pada tangan budak itu untuk mengejutkannya. Menurut Timbalan Pendakwa Raya Sheryl Yeo, lelaki itu pernah melakukan perbuatan yang sama sebelum itu.

Dua hari kemudian, sedang kanak-kanak perempuan itu membongkok untuk menyapu lantai, bapa tirinya menendang mata kirinya tanpa sebarang sebab, menurut pihak pendakwa lagi.

Akibat kesakitan yang dialami, budak itu tidak dapat ke sekolah. Apabila dia ke sekolah pada keesokan harinya, gurunya mendapati kesan lebam pada mata kirinya dan membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Kanak-Kanak di bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga.

Budak itu dibawa ke hospital dan didapati mengalami kelecuran pada bahagian pergelangan tangan serta kecederaan di bahagian hidung dan mata.

Budak itu kini dijaga oleh saudara-mara bapa kandungnya.

Pihak pendakwa meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan, dengan berhujah bahawa tindakan lelaki itu "sangat kejam".

Lelaki yang tidak diwakili peguam itu merayu agar hukuman terhadapnya diringankan kerana ia adalah kesalahan pertama.

Dia juga mendakwa bahawa kakinya bengkak dan mengeluarkan cecair dan dia "tidak tahu apa yang menyebabkannya".

Atas kesalahan mendera kanak-kanak, lelaki berkenaan boleh dipenjara sehingga empat tahun, dikenakan denda maksimum sehingga S$4,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan