Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengamat: Masagos layak dan sudah bersedia pikul portfolio Ehwal Masyarakat Islam

Rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong semalam (24 Apr), dilihat sebagai strategi untuk mempersiapkan pemimpin generasi keempat (4G) dengan kementerian dan isu yang sudah serasi dengan pucuk pimpinan pelapis itu. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong semalam (24 Apr), dilihat sebagai strategi untuk mempersiapkan pemimpin generasi keempat (4G) dengan kementerian dan isu yang sudah serasi dengan pucuk pimpinan pelapis itu.

Bagi masyarakat Islam, antara isunya termasuklah soal meningkatkan lagi keyakinan diri masyarakat Melayu/Islam dalam menangani isu-isu seperti pengganasan dan fahaman radikal.

Ia bukanlah isu-isu baru, namun menurut sesetengah pengamat kepimpinan pelapis seperti Encik Masagos Zulkifli dijangka boleh mengambil pendekatan baru dalam menanganinya.

Para pengamat yang ditemui BERITAMediacorp menambah, Encik Masagos yang bakal mengambil alih tugas Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam minggu depan, bukan sahaja calon yang layak malah sudah bersedia untuk memikul tangungjawab tersebut.

Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli. (Gambar: Hanzalah Mohammed/PERGAS)

RADIKALISME ANTARA 'CABARAN BESAR' ENCIK MASAGOS

Pengamat politik veteran, Dr Bilver Singh, misalnya berkata satu isu yang boleh Encik Masagos membuat perubahan adalah bagaimana hendak meningkatkan lagi keyakinan masyarakat Islam bahawa pengganasan tiada kena mengena dengan agama dan masyarakat Islam.

"Bagaimana Masagos bantu berubah fikiran majoriti kepada minoriti Melayu. Yang ini adalah warga kita, yang ini adalah teman kita.

"Jadi kerja Masagos adalah menguatkan, membuat satu semangat yang tidak mudah luntur dalam kaum Melayu/Islam menunjukkan radikalisme itu bukan hal mereka," tekan Dr Bilveer, yang juga merupakan seorang profesor di Jabatan Sains Politik dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Encik Masagos Zulkifli merasmikan Pusat Pembangunan Kanak-Kanak Global Jamiyah (GCDC) di Tampines siang tadi (27 Jan). (Gambar: Zulaikha Zulkiflee)

MASAGOS DIJANGKA TERUSKAN BANYAK USAHA KEBAJIKAN

Menurut pakar politik veteran, Dr Hussin Mutalib pula, masyarakat Melayu/Islam memang menjangkakan Encik Masagos akan meneruskan banyak usaha kebajikan dan pembaharuan yang sudah dimulakan oleh Dr Yaacob Ibrahim, disamping melaksanakan inisiatif-inisiatif baru.

Namun, beliau berkata masyarakat haruslah faham bahawa setiap keputusan besar yang akan diambil mestilah selari dengan dasar-dasar pemerintah.

"Sebab masyarakat Melayu kita hidup dalam sebuah negara global di mana cabaran dan perubahan berlaku begitu deras dan cepat pada kita, dan perkara-perkara yang telah berlaku pada masa lalu dan bergerak maju pada masa lalu, mungkin tidak lagi sesuai.

"Ini perlu disesuaikan oleh penggantinya dan kita mengharapkan disamping kita faham semua Menteri yang bertanggungjawab ini bergerak di atas dasar-dasar kabinet," kongsi Dr Hussin kepada BERITAMediacorp.

Gambar Encik Zaqy Mohamad. (Gambar: CNA / Lam Shushan)

ENCIK ZAQY PEMIMPIN YANG LAYAK & BERKEBOLEHAN

Menyentuh pula tentang perlantikan Encik Zaqy Mohamad yang bakal menyandang jawatan politik selaku Menteri Negara bagi Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Tenaga Manusia (MOM), Encik Bilveer berpendapat, Encik Zaqy merupakan 'seorang yang layak bagi jawatan tersebut'.

Ini menurutnya melihat kepada perwatakan Encik Zaqy sebagai 'seorang pemimpin yang rajin dan proaktif.'

"Encik Zaqy ini luar biasa, dia rajin dia, sekarang dia menjaga dua Kawsan Undi, termasuk Kawasan Undi Puan Halimah Yacob.

"Jadi saya fikir ini adalah pemimpin yang menonjol, ada banyak lagi tapi bagi saya ini (Encik Zaqy) adalah yang menonjol. Saya fikir dia itu begitu proaktif... jadi saya rasa beliau ada potensi untuk memberikan sumbangan," ujar Dr Bilveer.

Encik Chan Chun Sing, Heng Swee Keat dan Ong Ye Kung. (Gambar; MCI)

ROMBAKAN KABINET SEBAGAI LANGKAH PERSIAP KEPIMPINAN LUAR BIASA

Ditanya sama ada PM Lee mengambil langkah berjaga-jaga dengan pengumuman rombakan besar-besaran yang dilakukannya semalam, Dr Bilveer mengulas bahawa konsep dan strategi yang dilakukan ke atas menteri-menteri muda itu dilihat sebagai satu ‘ujian keupayaan untuk melaksanakan yang terbaik di bawah tekanan’, bagi melahirkan pasukan kepimpinan yang luar biasa.

"Jadi saya melihat ini sebagai sesuatu yang 'trial by fire' (ujian lasak) daripada Perdana Menteri, yang melihat ini adalah orang daripada fikiran dia, pasukan yang impian, tapi mereka itu belum dimatangkan dalam posisi kementerian.

“Jadi sekarang itu dia (PM Lee) sedang meletakkan situasi di mana menteri-menterinya ditukarkan kementerian dengan kerap, enam bulan di sini, lapan bulan di sana, ada yang dia tahu memang bagus dia akan ditetapkan. 

“Supaya datangnya lagi dua tahun daripada hari ini, dia itu ada satu pasukan yang luar biasa, yang boleh membawa Singapura ke depan walaupun Encik Lee Hsien Loong tidak menjadi Perdana Menteri lagi," tambah Dr Bilveer lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan