Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengamal TCM dihukum penjara; 'lancarkan peredaran darah' helah cabul pesakit

Seorang pengamal perubatan tradisional Cina (TCM) dihukum penjara 13 bulan dan dua minggu pada Khamis (5 Ogos) kerana mencabuli kehormatan pesakitnya dengan alasan mahu melawaskan peredaran 'qi' dan kerana menanyakan soalan-soalan lucah.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengamal TCM dihukum penjara; 'lancarkan peredaran darah' helah cabul pesakit

Lim Ah Bah di luar mahkamah pada 5 Ogos 2021 (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 05 Aug 2021 03:57PM Dikemas Kini : 05 Aug 2021 04:09PM

SINGAPURA: Seorang pengamal perubatan tradisional Cina (TCM) dihukum penjara 13 bulan dan dua minggu pada Khamis (5 Ogos) kerana mencabuli kehormatan pesakitnya dengan alasan mahu melawaskan peredaran 'qi' dan kerana menanyakan soalan-soalan lucah.

Lim Ah Bah, 74 tahun, didapati bersalah menyusuli perbicaraan ke atas dua pertuduhan masing-masing atas tuduhan mencabul kehormatan dan menghina kehormatan seorang wanita.

Dia mencabul kehormatan seorang wanita berusia 39 tahun di Klinik TCM Xin Hua pada 1 Oktober 2018. Semasa sesi TCM, dia mengusap dan menghisap dada wanita itu sebelum mencabul kehormatannya.

Lim juga menghina kehormatan mangsa dengan memintanya menggunakan gel pelincir pada bahagian sulitnya, dan bertanya sama ada wanita itu sudah berkahwin dan mempunyai teman lelaki.

Apabila mangsa menjawab ya, Lim menjawab dengan mengusulkan kepada mangsa supaya mengadakan hubungan seks bersama teman lelakinya dengan lebih kerap. Dia juga meminta teman lelakinya mengusap dan menghisap dada untuk melancarkan peredaran darah.

Lim juga mencabar tuduhan itu, dengan mendakwa bahawa mangsa yang memintanya supaya melakukan perbuatan seks itu.

Dia turut mendakwa bahawa wanita itu sendiri yang mengangkat bajunya secara tiba-tiba, lantas mengejutkan dan menakutkannya sehingga dia "tidak berani membayangkan apa-apa lagi".

Menurut Lim lagi, wanita itu berkata "doktor tua, bolehkah awak melakukannya untuk saya", dan Lim mendakwa bahawa dia menolak permintaan itu. Lim bertegas bahawa dia tidak bersalah dan belum pernah dituduh sedemikian rupa dalam beberapa dekad dia hidup.

Mangsa telah memberikan keterangan terperinci mengenai kejadian itu dan keterangan tersebut disokong oleh perbualan telefon yang dirakam, rakaman kamera litar tertutup di bahagian tertentu klinik, dan pengakuan separa Lim dalam lima keterangan kepada pihak polis.

Pihak pendakwa berhujah Lim telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai seorang pengamal TCM, memuaskan nafsunya selepas "ternyata tertarik" dengan mangsa secara fizikal.

Dalam satu panggilan telefon, Lim memberitahu mangsa bahawa dia pernah melakukan rawatan yang sama pada pesakit wanita lain yang berusia 60 tahun dan wanita berkenaan "sangat sihat" dan "sangat gembira".

Sebagai sebahagian daripada pembelaannya, Lim memanggil seorang pesakit lain untuk tampil memberikan keterangan. Pesakit itu memberi keterangan bahawa Lim tidak pernah memintanya untuk melakukan perbuatan seks sebagai rawatan.

Wanita itu berkata Lim adalah "doktor yang sangat baik".

Lim dibenarkan memulakan hukuman penjaranya pada 20 Ogos.

Atas kesalahan mencabul kehormatan, Lim boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda bagi setiap tuduhan. Dia tidak boleh dirotan kerana berusia lebih 50 tahun.

Atas kesalahan menghina kehormatan seorang wanita, dia boleh dipenjara sehingga setahun, didenda atau kedua-duanya sekali bagi setiap tuduhan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan