Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengamal TCM didenda kerana buka klinik semasa 'circuit breaker'

Seorang pengamal perubatan tradisional Cina (TCM) bersetuju untuk membuka kliniknya bagi merawat anak lelaki seorang pelanggan tetapnya semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19, di mana semua perniagaan tidak penting diarah tutup.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengamal TCM didenda kerana buka klinik semasa 'circuit breaker'

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 07 Apr 2021 08:55PM Dikemas Kini : 07 Apr 2021 08:57PM

SINGAPURA: Seorang pengamal perubatan tradisional Cina (TCM) bersetuju untuk membuka kliniknya bagi merawat anak lelaki seorang pelanggan tetapnya semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19, di mana semua perniagaan tidak penting diarah tutup.

Dia kemudian merawat lebih ramai pelanggan, iaitu seramai lima orang kesemuanya semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan dan membuka kliniknya secara haram di Jalan Bukit Ho Swee.

Namun salah seorang pelanggannya berasa tidak puas hati dengan khidmat yang diberikan, lalu suami pelanggan itu melaporkannya kepada Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) mengenai kesalahan yang dilakukan oleh pengamal TCM itu.

Atas kesalahan yang dilakukan, Nie Xin, 46 tahun, didenda S$10,500 di mahkamah pada Rabu (7 Apr).

Dia mengaku bersalah ke atas tiga tuduhan di bawah Akta (Langkah Sementara) COVID-19 kerana gagal memastikan bahawa kliniknya ditutup dan keluar rumah tanpa alasan munasabah, dengan lagi empat tuduhan diambil kira dalam menentukan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Nie merupakan pengamal TCM berdaftar dan pemilik D&N Chinese Treatment Centre di Blok 46 Jalan Bukit Ho Swee.

Pada 6 Apr 2020, Kementerian Kesihatan (MOH) mengeluarkan pekeliling kepada semua pengamal TCM bahawa khidmat dan rawatan TCM yang tidak penting harus digantung selama empat minggu mulai 7 Apr 2020.

Klinik TCM hanya dianggap sebagai penyedia khidmat penting jika ia menyediakan terapi adjuvan bagi penyakit barah atau penyakit kronik yang lain, dan mereka yang ingin terus menawarkan khidmat perlu memaklumkan kepada MOH.

Khidmat seperti akupunktur dan bekam tidak dibenarkan kerana rawatan itu memerlukan kontak secara langsung atau tempoh panjang dengan pesakit.

Namun Nie tidak membuat sebarang perisytiharan kepada MOH.

Pada 29 Apr 2020, seorang pelanggan tetapnya meminta Nie merawat anak lelakinya yang berusia sembilan tahun. Nie pada awal berkata bahawa kliniknya ditutup, namun kemudian bersetuju untuk berjumpa mereka berdua di kliniknya.

Peguamnya berkata Nie memenuhi permintaan itu kerana hubungan rapat yang terjalin lama antara mereka berdua dan juga kerana dia bimbang kesihatan kanak-kanak lelaki itu akan menjadi semakin teruk.

Pada hari yang sama, Nie menerima temu janji daripada seorang lagi pelanggan - wanita berusia 35 yang mengadu rasa sakit pada bahagian pinggangnya.

Apabila wanita itu tiba di kliniknya bersama suaminya, Nie menggunakan sebatang kayu untuk memukul bahagian paha dan lengannya selama sekitar 40 minit sebelum memberikan ubat-ubatan serbuk dan tonik herba.

Dia mengenakan bayaran S$325 kepada wanita itu bagi sesi tersebut.

Menurut peguam Nie, wanita itu menuntut supaya dipulangkan wangnya kerana simptomnya bertambah teruk. Nie memulangkan wang pelanggan itu secara sepenuhnya, namun dia tetap "diganggu secara berterusan" oleh wanita itu dan suaminya.

Kejadian itu dilaporkan kepada pihak berkuasa pada Mei 2020 apabila suami wanita itu menghantar e-mel kepada MTI sambil berkata Nie menyediakan khidmat tanpa izin semasa tempoh pemutus jangkitan.

Siasatan mendedahkan bahawa Nie keluar rumah sebanyak tiga kali sepanjang tempoh itu, iaitu pada 11 Apr, 23 Apr dan 29 Apr untuk berjumpa dengan lima pelanggan di kliniknya, dan mengenakan bayaran S$1,070 secara keseluruhan.

Timbalan Pendakwa Raya Sruthi Boppana memohon bagi denda sekurang-kurangnya S$11,500 sambil berkata bahawa Nie sedar bahawa dia tidak dibenarkan untuk menawarkan khidmat sepanjang tempoh itu dan dia meraih keuntungan.

Hakim berkata terdapat kontak rapat antara pelanggan yang berpotensi tinggi timbul risiko jangkitan COVID-19.

Nie boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan dan didenda sehingga S$10,000 bagi setiap tuduhan melanggar undang-undang COVID-19.

Mediacorp sudah pun menghubungi Pejabat Peguam Negara tentang sama ada sebarang tindakan akan diambil terhadap pesakit terbabit.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan