Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengalaman politik, perwatakan mesra, ciri penting Heng Swee Keat apabila jadi PM, kata para penganalisis

Menteri Kewangan Heng Swee Keat yang mempunyai pengalaman meluas dalam bidang politik dan memiliki "perwatakan mesra" menjadikannya pilihan terbaik untuk memimpin Singapura, kata para penganalisis dan pemerhati politik kepada Mediacorp semalam (23 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Pengalaman politik, perwatakan mesra, ciri penting Heng Swee Keat apabila jadi PM, kata para penganalisis

Menteri Kewangan Heng Swee Keat. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 24 Nov 2018 09:14AM Dikemas Kini : 24 Nov 2018 09:20AM

SINGAPURA: Menteri Kewangan Heng Swee Keat yang mempunyai pengalaman meluas dalam bidang politik dan memiliki "perwatakan mesra" menjadikannya pilihan terbaik untuk memimpin Singapura, kata para penganalisis dan pemerhati politik kepada Mediacorp semalam (23 Nov).

Pelantikan Encik Heng sebagai Penolong Setiausaha Agung pertama Parti Tindakan Rakyat (PAP) meletakkan beliau sebagai calon menjadi perdana menteri Singapura yang seterusnya, dan ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan bagi para penganalisis.

Pelantikannya itu diumumkan pada Jumaat (23 Nov), dengan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing dinamakan sebagai Penolong Setiausaha Agung kedua PAP. Menteri Pendidikan Ong Ye Kung - yang sebelum ini disebut-sebut sebagai salah seorang daripada tiga calon bagi jawatan perdana menteri selain Encik Heng dan Encik Chan - pula dilantik sebagai Penolong Bendahari PAP.

"(Encik Heng) adalah anggota paling kanan dan beliau mempunyai pengalaman politik serta penggubalan dasar paling banyak dalam kalangan pasukan kepimpinan generasi keempat (4G)," kata Dr Mustafa Izzuddin, seorang penganalisis politik dari ISEAS-Institut Yusof Ishak. Dr Mustafa menambah bahawa Encik Heng terbukti mempunyai "pengalaman diplomatik dan kemahiran politik yang diperlukan" untuk berkhidmat sebagai perdana menteri seterusnya.

Pandangan itu dikongsi seorang pengamat politik dari Universiti Nasional Singapura Bilveer Singh, yang juga menarik perhatian pengalaman Encik Heng selaku Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Encik Lee Kuan Yew.

"Beliau menceburi bidang politik sebagai anak didik mendiang Encik Lee Kuan Yew sejak 1997," kata Dr Singh. "Beliau mempunyai akses kepada semua dasar nasional dan beliau juga dibimbing oleh guru politik yang terbaik di Singapura."

Mendiang Encik Lee juga pernah memuji Encik Heng apabila beliau menyandang jawatan sebagai pengarah urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) kerana berjaya menyelamatkan ekonomi negara semasa krisis kewangan pada 2007 dan 2008, tambah Dr Singh.

Selain itu, Encik Heng memiliki "perwatakan mesra", menurut pensyarah madya SIM Global Education Felix Tan, sambil menambah bahawa kebolehan Encik Heng untuk mendengar dan berkomunikasi secara berkesan menjadikannya pilihan terbaik bagi jawatan tersebut.

Dr Singh juga menyifatkan Encik Heng sebagai seorang "pemimpin sejati" sambil menarik perhatian bahawa salah satu kekuatan beliau adalah keperibadiannya. "Beliau boleh bekerjasama dengan sesiapa pun," kata Dr Singh. "Beliau bersikap rendah diri dan dapat menghuraikan masalah."

Dr Singh juga menganggap Encik Heng yang bukan dari latar belakang tentera sebagai satu lagi kelebihannya. "Para pemimpin bukan tentera melakukan sesuatu bukan atas arahan, tetapi menerusi rundingan," kata beliau. "Dan politik adalah berdasarkan rundingan serta memahami baik dan buruknya."

'HENG MILIKI CIRI-CIRI PM LEE DAN ESM GOH'

Dalam pada itu, Dr Tan menyifatkan menteri kewangan tersebut sebagai "memiliki ciri-ciri Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong".

"Beliau memahami dengan teliti isu-isu yang dibangkitkan dan cuba sedaya upaya untuk menerangkannya dengan jelas dan mudah," kata beliau.

Pengulas politik Eugune Tan yang juga seorang profesor madya dari Universiti Pengurusan Singapura menambah bahawa beliau menjangkakan Encik Heng bukan sahaja akan memberi nasihat, malah beliau juga akan "berusaha untuk mencapai persetujuan" terutamanya mengenai isu-isu yang menimbulkan tengkarah.

ADAKAH CHAN CHUN SING MASIH BOLEH JADI PM?

Encik Chan, sebagai pemangku Encik Heng, juga memainkan peranan penting dalam menerajui generasi pemimpin yang seterusnya, kata para penganalisis, dengan Dr Tan menyifatkan kerjasama antara Encik Heng dengan Encik Chan sebagai "sebuah pasukan" dan satu "ujian" bagi PAP.

"Keserasian antara kedua-dua pemimpin itu amat penting bagi memastikan Singapura dapat ditadbir urus dengan berkesan."

Profesor Tan percaya bahawa "pengisytiharaan segera" Encik Chan sebagai pemangku Encik Heng juga bertujuan "mengurangkan sebarang kesan negatif daripada 'persaingan yang sengit'."

"Ia bukanlah memberi bayangan bahawa terdapat pergeseran dalaman, tetapi untuk menarik perhatian mengenai bagaimana "keupayaan" dua pemimpin kanan akan membolehkan pasukan 4G untuk menampilkan kekuatan mereka dan terus kekal kohesif," kata beliau.

Meskipun Encik Chan mungkin terlepas peluang mengambil alih jawatan PM Lee, para penganalisis meramalkan bahawa masih lagi terdapat peluang untuk beliau menyandang jawatan tersebut pada masa hadapan.

Sesetengah penganalisis menarik perhatian bahawa usia Encik Heng dan serangan angin ahmar yang dialaminya pada 2016 sebagai tanda-tanda bahawa beliau mungkin berkhidmat selama dua penggal sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Encik Chan.

Encik Heng sudahpun beransur pulih dan para doktor mengisytiharkan bahawa beliau sihat. Sungguhpun demikian, Dr Tan berkata kesihatan Encik Heng "masih lagi satu keprihatinan".

Dr Singh berkongsi padangan yang sama sambil menambah bahawa Encik Heng mungkin "dengan mudah" berkhidmat selama dua penggal sebelum menyerahkannya kepada Encik Chan.

Sementara itu, Dr Mustafa berkata Encik Ong, yang juga disebut-sebut sebagai calon perdana menteri seterusnya, masih ada peluang mengambil jawatan itu pada masa akan datang.

"Terdapat kemungkinan Encik Chan dan Encik Ong akan menggantikan Encik Heng apabila beliau mengundurkan diri selepas berkhidmat selama sekurang-kurangnya dua penggal," kata beliau.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan