Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengalaman lawatan ke Mesir, Jordan "bermanfaat" untuk bangunkan kolej Islam S'pura, kata Dr Yaacob

Lawatan Dr Yaacob Ibrahim  ke Mesir dan Jordan selama lima hari sebagai "singkat tapi bermanfaat".

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim menyifatkan pengalaman beliau mengadakan lawatan ke Mesir dan Jordan selama lima hari sebagai "singkat tapi bermanfaat".

Dr Yaacob berkata demikian menerusi catatan di laman Facebooknya hari ini (12 Nov) mengenai lawatan yang diadakan pada minggu lalu.

Menurut Dr Yaacob, semasa berada di Kaherah dan Amman, beliau dan delegasinya mengadakan lawatan ke institusi-institusi pengajian tinggi berprestij seperti Universiti Al Azhar, Universiti Jordan dan Universiti Pendidikan Sains Islam Sedunia (WISE).

"Institusi-institusi ini kaya dengan tradisi dan pemahaman serta penghargaan yang mendalam terhadap Islam dan bidang-bidang agama namun progresif dalam pandangan global.

"Kami bertukar-tukar pandangan yang mendalam dan bermakna dengan para pentadbir institusi tersebut serta para ulama terkemuka Islam di kedua-dua negara," kata Dr Yaacob.

Dr Yaacob bersama para cendekiawan pengajian Islam yang mengajar di Mesir dan Jordan.  (Gambar-gambar: Yaacob Ibrahim/Facebook)

Dr Yaacob bersama para cendekiawan pengajian Islam yang mengajar di Mesir dan Jordan.  

Beliau menambah mereka juga berpeluang untuk mendampingi para pemimpin terbilang seperti Menteri Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Jordan, Profesor Adel Tweissi.

"Kami bertukar-tukar pendapat mengenai program-program pendidikan tinggi Islam yang akan melengkapkan para guru agama untuk berkhidmat memenuhi keperluan Muslim hari ini dan pada masa akan datang," ujar Dr Yaacob sambil menambah, ini memandangkan cabaran-cabaran sedia ada dan yang akan timbul.

Dr Yaacob berkata beliau terutamanya "menghargai sesi dialog dengan para asatizah masa depan kita, yang memberikan perspektif baru kepada isu-isu yang dibincangkan".

Menurut Dr Yaacob, pengalaman daripada lawatan tersebut sememangnya "tidak ternilai" dan akan dapat membantu Singapura dalam membangunkan kolej Islam sendiri, dengan asas kukuh dalam sains agama serta mengambil pendekatan pelbagai bidang yang sesuai dengan konteks sebuah negara berbilang kaum dan agama.

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan