Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penerbangan SIA, Scoot ke Jepun terjejas hujung minggu ini akibat Taufan Hagibis

Lebih 10 khidmat penerbangan ulang alik daripada Jepun pada hujung minggu ini yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat penerbangan Singapura ditangguh atau dibatalkan. Ini sedang Jepun bersiap sedia berdepan dengan ribut yang dianggap mungkin paling kuat memukul Tokyo dalam tempoh 60 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Penerbangan SIA, Scoot ke Jepun terjejas hujung minggu ini akibat Taufan Hagibis

(Gambar fail: Reuters/AFP)

Diterbitkan : 11 Oct 2019 06:15PM Dikemas Kini : 11 Oct 2019 06:17PM

SINGAPURA: Lebih 10 khidmat penerbangan ulang alik daripada Jepun pada hujung minggu ini yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat penerbangan Singapura ditangguh atau dibatalkan. Ini sedang Jepun bersiap sedia berdepan dengan ribut yang dianggap mungkin paling kuat memukul Tokyo dalam tempoh 60 tahun.

Taufan Hagibis dijangka melanda daerah Honshu esok (12 Okt) dan membawa hujan lebat pada paras rekod dan angin sekencang 216 km sejam, menurut agensi jabatan kaji cuaca Jepun.

Singapore Airlines (SIA) menyatakan beberapa penerbangannya terjejas, dengan empat penerbangan berlepas lebih awal dari jadual sebelum taufan itu melanda.

Laluan penerbangan SIA yang terjejas termasuk Los Angeles-Narita, Singapura-Kansai, Kansai-Singapura, Singapura-Nagoya dan Nagoya-Singapura.

"Kami akan memberi kemas kini lanjut berhubung penerbangan yang ke Tokyo Haneda dan lapangan terbang Tokyo Narita apabila kami mempunyai lebih banyak maklumat," demikian menurut makluman SIA di lamannya.

Syarikat penerbangan tambang rendah Scoot menyatakan ia membatalkan lapan penerbangan dan menjadualkan semula tujuh penerbangan. Penerbangan ulang alik antara Tokyo dan Osaka dibatalkan dan para penumpang dipindahkan ke penerbangan yang berlepas pada Ahad dan Isnin depan.

Sesetengah penerbangannya ke Kaohsiung dan Taipei di Taiwan turut ditangguhkan atau dibatalkan.

Scoot menyatakan ia sedang memantau keadaan bagi penerbangan seterusnya dan akan menyampaikan sebarang kemas kini kepada para penumpang menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau emel.

"Sedang keadaan masih belum stabil, para penumpang digalakkan bersedia bagi sebarang kemungkinan dalam rancangan perjalanan, termasuk membeli insurans perjalanan dalam tempoh ini," ujar Scoot.

Taufan itu dijangka mengakibatkan kekecohan dalam pengangkutan sepanjang cuti hujung minggu di Jepun, dengan ramai yang terpaksa membatalkan rancangan percutian mereka.

Dua penerbangan utama Jepun, All Nippon Airways dan Japan Airlines membatalkan ratusan penerbangan dalam negeri. Khidmat kereta api laju dan laluan rel tempatan turut digantung.

Ribut itu juga menyebabkan acara Formula One Grand Prix dan Piala Dunia Ragbi tergendala.

Jepun dilanda sekitar 20 taufan dalam setahun, namun begitu, ibu negara Jepun lazimnya tidak terjejas teruk.

Taufan Hagibis akan melanda Jepun beberapa minggu setelah negara itu dibadai Taufan Faxai dengan kekuatan serupa dan menyebabkan dua kematian serta kerosakan teruk di wilayah Chiba.

Lebih 36,000 rumah rosak atau musnah di Chiba dengan pihak berkuasa tempatan menggesa para penduduk dalam bangunan yang musnah untuk berteduh di tempat lain semasa taufan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan