Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penerbangan dijangka tergendala kerana S'pura had ruang udara semasa sidang Trump-Kim

Pelancong yang tiba dan berlepas dari Singapura sewaktu tempoh sidang puncak Amerika Syarikat dan Korea Utara, boleh menjangkakan kelengahan pada penerbangan, kerana ruang udara akan diperketat.

Anggaran Waktu Membaca:
Penerbangan dijangka tergendala kerana S'pura had ruang udara semasa sidang Trump-Kim

(Gambar hiasan: Roslan Rahman/ AFP)

Diterbitkan : 07 Jun 2018 05:32PM Dikemas Kini : 07 Jun 2018 05:34PM

SINGAPURA: Pelancong yang tiba dan berlepas dari Singapura sewaktu tempoh sidang puncak Amerika Syarikat dan Korea Utara, boleh menjangkakan kelengahan pada penerbangan, kerana ruang udara akan diperketat. Ini menurut pihak berkuasa dalam satu kenyataan pada Rabu (6 Jun).

Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengesahkan bahawa had ruang udara Singapura akan berkuatkuasa bermula Jun 10 pada 8.00 pagi, hingga Jun 14 jam 11.59 malam.

Menurut pihak berkuasa, notis mengenai sekatan ruang udara sudahpun dimaklumkan kepada pengguna ruang udara melalui saluran informasi aeronautik biasa pada Isnin dan Rabu.

Notis berkenaan menyatakan bahawa ruang udara Singapura akan disekat pada waktu-waktu tertentu, dari 11 hingga 13 Jun. Singapura akan menjadi tuan rumah kepada sidang bersejarah antara Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Capella Hotel di Sentosa, pada 12 Jun.

Semua pesawat yang mendarat di Lapangan Terbang Changi diwajibkan untuk mengurangkan kelajuan. Penggunaan landasan pesawat juga dibataskan "atas sebab-sebab keselamatan negara", menurut notis tersebut.

Satu notis berasingan di lelaman sesawang ICAO memberi amaran kepada juruterbang agar menjauhi Pangkalan Udara Paya Lebar, kawasan tentera yang pernah digunakan oleh presiden-presiden AS yang lalu pada lawatan-lawatan sebelum ini. Notis itu menambah, pesawat yang melanggar sekatan ini "mungkin dipintas".

Sebagai sebahagian daripada persiapan menjelang sidang yang menjadi tumpuan antarabangsa itu, Singapura memperuntukkan tempat-tempat tertentu sebagai "ruang acara khas" antara 10 hingga 14 Jun.

Tempat-tempat ini termasuklah kawasan pusat negara, yang menempatkan kementerian luar, kedutaan AS dan beberapa hotel, serta pulau Sentosa di bahagian selatan, di mana sidang puncak itu akan berlangsung.

Di kawasan-kawasan berkenaan, item-item seperti pesawat kawalan jauh dan sistem pembesar suara tidak dibenarkan.

Sumber : Reuters/TQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan