Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penduduk Tetap dipenjara 10 minggu kerana gagal jalani NS

Seorang lelaki yang gagal memenuhi kewajipan Perkhidmatan Negaranya (NS) selama lebih lima tahun dihukum penjara 10 minggu pada Khamis (20 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk Tetap dipenjara 10 minggu kerana gagal jalani NS

Thirumal Pavithran selesai menjalani Perkhidmatan Negara pada Mei 2019. (Gambar: Facebook/Pavithran Thirumal)

Diterbitkan : 21 Jun 2019 01:24AM Dikemas Kini : 21 Jun 2019 01:28AM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang gagal memenuhi kewajipan Perkhidmatan Negaranya (NS) selama lebih lima tahun dihukum penjara 10 minggu pada Khamis (20 Jun).

Rakyat India dan Penduduk Tetap Singapura Thirumal Pavithran, 25 tahun, gagal mendaftarkan diri untuk NS dan gagal memenuhi kewajipan NS ketika dia menjalani pendidikan menengah dan universiti di India.

Thirumal berada di luar Singapura selama lebih lima tahun, tujuh bulan.

Dia yang baru menamatkan NS bulan lalu, mengaku bersalah atas empat tuduhan di bawah Akta Pendaftaran Negara.

Mahkamah diberitahu bahawa dia dilahirkan di India dan menjadi Penduduk Tetap Singapura pada Jun 1997 apabila dia berusia tiga tahun.

Dia menghadiri sekolah rendah dan menengah di Singapura dari 2001 hingga 2009 tetapi meninggalkan negara ini untuk melanjutkan pelajaran pada Mei 2009.

Pada November 2010, Thirumal mula tertaluk pada Akta Pendaftaran Negara. Notis pendaftaran dikirim ke alamatnya di Singapura apabila dia berumur 17 tahun untuk memaklumkan bahawa dia perlu mendaftarkan diri untuk NS sepenuh masa, tetapi dia gagal berbuat demikian.

Kurang setahun kemudian, pada September 2011, sebuah lagi arahan melaporkan diri dikirim ke rumahnya untuk memaklumkan Thirumal supaya menjalani pemeriksaan perubatan. Dia gagal mematuhi arahan itu.

Lewat bulan itu, Thirumal berkunjung ke Singapura selama kira-kira seminggu sebelum dia kembali ke India dan warta polis dikeluarkan terhadapnya dua bulan kemudian.

Thirumal mengunjungi Singapura kira-kira setahun selepas itu, pada Oktober 2012. Dalam tempoh seminggu selepas dia memasuki negara ini, dia ditahan oleh polis lalu diberkas.

Dia kemudian mendaftarkan diri untuk menjalani NS dan menjalani pemeriksaan perubatan yang mendapati dia layak didaftar untuk NS sepenuh masa.

Notis pendaftaran dihantar ke alamatnya pada Januari 2013 untuk mengarahkan Thirumal supaya melaporkan diri ke Pusat Latihan Asas Tentera (BMTC) pada 12 Mac 2013.

INGIN TANGGUH NS

Namun, pada hari pendaftaran, Thirumal menelefon <<Cawangan Tenaga Manusia Pusat>>Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB) untuk mengatakan keinginan untuk memohon penangguhan NS. CMPB membalas menerusi emel pada hari yang sama, meminta Thirumal supaya menghantar dokumen-dokumen bagi menyokong permohonannya itu.

Dalam emel-emel yang dikirimkan kepada CMPB, Thirumal <<berkata>>menyatakan dia sedang bersekolah di India dan akan menamatkan pengajiannya pada Mei 2013. Selepas itu, dia akan memulakan pengajian di universiti di India pada Jun 2013.

CPMB mengirim emel kepadanya untuk menegaskan bahawa dia tidak layak menerima penangguhan atas sebab pengajiannya di universiti dan dia hanya boleh menagguhkan NS hingga 31 Mei 2013 untuk menamatkan persekolahan peringkat menengah di India.

Thirumal tidak membalas emel itu atau bertindak terhadap notis baru untuk mendaftarkan diri sebagai sebahagian daripada kemasukan Jun 2013.

Apabila tarikh pendaftaran tiba pada 13 Jun 2013, Thirumal tidak melaporkan diri untuk menjalani NS. Warta polis baru dikeluarkan.

Dia menamatkan pengajian di universiti di India pada Jun 2016 dan kembali ke Singapura pada bulan yang sama lalu melaporkan diri ke CMPB sebulan kemudian. Thirumal didaftarkan untuk menjalani NS sepenuh masa dan menamatkan perkhidmatan negara pada Mei tahun ini.

Thirumal, berusia 25 tahun, yang tidak diwakili peguam, memberitahu Hakim Daerah John Ng dalam rayuan supaya hukumannya dikurangkan bahawa dia menyangka dia memikul tanggungjawab NS hanya mulai usia 18 tahun.

"Kejahilan mengenai undang-undang bukan satu alasan," kata hakim itu.

Beliau menambah bahawa isu hukuman terhadap mereka yang gagal memenuhi tanggungjawab perkhidmatan negara sudah dibentangkan dengan menyeluruh di mahkamah.

Hukuman bergantung kepada tempoh yang tertuduh gagal menjalani NS dan juga jika yang tertuduh mengaku bersalah, menyerah diri atau sudah menjalani NS.

Menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataannya pada Mei, apabila tuduhan dikenakan terhadap Thirumal, pihaknya berpendirian tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pendaftaran Negara.

"Kesemua lelaki rakyat dan penduduk tetap (PR) Singapura mempunyai tanggungjawab untuk menjalani NS," menurut MINDEF. "Jika kami membenarkan rakyat atau PR Singapura yang berada di luar negara untuk mengelak NS atau memilih untuk tidak menjalani NS, kami tidak berlaku adil terhadap majoriti anggota perkhidmatan negara yang berkhidmat kepada negara secara bertanggungjawab, dan institusi NS akan terjejas."

Atas kesalahan gagal memenuhi tanggunjawabnya di bawah Akta Pendaftaran Negara, Thirumal boleh dikenakan hukuman penjara hingga tiga tahun dan didenda hingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan