Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penduduk serata S'pura bersihkan estet pada 26 April; pekerja pembersihan diberi cuti

Para pekerja pembersihan majlis bandaran akan diberikan cuti sehari pada 26 April tahun depan. Ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk Singapura akan jumlah sampah yang dibuang dalam sehari.

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk serata S'pura bersihkan estet pada 26 April; pekerja pembersihan diberi cuti

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 18 Nov 2019 10:39PM Dikemas Kini : 18 Nov 2019 10:40PM

SINGAPURA: Para pekerja pembersihan majlis bandaran akan diberikan cuti sehari pada 26 April tahun depan.

Ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk Singapura akan jumlah sampah yang dibuang dalam sehari.

Sebaliknya, pada hari itu para penduduk perlu membersihkan estet perumahan mereka sendiri.

Inisiatif CleanSG Day itu diadakan oleh Majlis Kebersihan Awam (PHC) yang ditubuhkan pada 2011 untuk menggalakkan amalan kebersihan baik dan meningkatkan mutu kebersihan awam dan peribadi di Singapura.

Dengan insiatif serupa dilaksanakan di beberapa estet pada tahun-tahun sebelumnya, ini merupakan kali pertama acara sedemikian diadakan di merata Singapura.

Pengerusi PHC Edward D'Silva memberitahu Mediacorp hari ini (18 Nov) bahawa majlis itu sudah menerima kelulusan daripada majlis-majlis bandaran untuk memberikan para pekerja pembersihan mereka cuti sehari pada 26 April tahun depan, yang jatuh empat hari selepas Hari Bumi.

Apabila ditanya jika ada rancangan untuk menjalankan inisiatif itu setiap tahun, Encik D'Silva berkata: "Tahun depan merupakan projek percubaan dan jika ia berjaya, saya ingin meneruskannya bagi membantu mendidik orang awam dan menyebarkan kesedaran tentang jumlah sampah dibuang.

"Kami juga akan mempertimbangkan untuk meluaskannya kepada ruang-ruang awam lain dan mungkin menggalakkan syarikat pengendali privet (untuk menyertai inisiatif ini)."

Encik D'Silva menambah, gaji para pekerja pembersihan tidak akan terjejas oleh inisiatif itu dan majlis bandaran akan memaklumkan para pekerja mereka bila untuk kembali bekerja.

Inisiatif itu pertama kali dilaporkan pada Ahad (17 Nov) oleh laman berita persekitaran Eco-Business, yang menukil sumber tidak dinamakan dan menyenaraikan butirannya - termasuk tarikh rasmi dan sama ada para pekerja pembersihan akan diberikan gaji - sedang disediakan.

Menurut Encik D'Silva, kebanyakan penduduk tidak menyedari terdapat "seangkatan pekerja pembersihan" yang membersihkan estet perumahan mereka seawal 5 pagi setiap hari sebelum mereka pergi ke tempat kerja.

"Matlamat inisiatif itu adalah untuk menunjukkan kepada sebilangan penduduk di flat-flat HDB apa yang akan berlaku (jika sampah-sarap tidak dibersihkan)," kata Encik D'Silva.

"Kami ingin menunjukkan kepada para penduduk jumlah sampah sarap yang mereka buang. Apabila mereka bangun di waktu pagi, saya harap mereka boleh melihat jumlah sampah di sekitar ruang-ruang awam."

Beliau juga berkata PHC kini dalam perbincangan dengan pelbagai jawatankuasa penduduk dan kelab masyarakat untuk membangunkan kumpulan bagi membersihkan estet-estet. Ia juga menggalakkan pertubuhan kebajikan sukarelawan untuk menganjurkan kegiatan memungut sampah pada petang 26 April.

Seorang jurucakap Agensi Sekitaran Kebangsaan menambah agensi itu masih membincangkan butiran bagi inisiatif CleanSG Day dan akan menyediakan lebih banyak maklumat dalam masa akan datang.

Sementara itu, kempen selama sebulan PHC iaitu, "Keep Clean, Singapore!" juga akan dilancarkan pada hari yang sama oleh Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli di Hab Tampines Kita, kata Encik D'Silva.

Kempen itu diadakan bagi menggalakkan kumpulan dan para individu membersihkan ruang-ruang awam.

MASALAH BUANG SAMPAH SECARA SEMBARANGAN MASIH BERLAKU

Inisiatif CleanSG Day itu diadakan sedang masalah pembuangan sampah daripada tingkat tinggi mendapat perhatian semula, awal tahun ini.

Pada September, Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Dr Lee Bee Wah menarik perhatian kepada isu pembuangan sampah dan menukil kejadian tuala wanita terpakai dibuang daripada sebuah flat dalam kawasannya.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan