Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penduduk S'pura boleh ambil pelitup guna semula baru, lebih baik mulai 26 Mei: PA

Mulai 26 Mei hingga 14 Jun, penduduk Singapura boleh mengambil pelitup guna semula yang lebih baik dan boleh menapis bakteria di tempat-tempat seperti kelab masyarakat (CC) dan mesin-mesin layan sendiri di merata negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk S'pura boleh ambil pelitup guna semula baru, lebih baik mulai 26 Mei: PA

(Gambar: Persatuan Rakyat)

Diterbitkan : 21 May 2020 10:06PM Dikemas Kini : 21 May 2020 10:09PM

SINGAPURA: Mulai 26 Mei hingga 14 Jun, penduduk Singapura boleh mengambil pelitup guna semula yang lebih baik dan boleh menapis bakteria di tempat-tempat seperti kelab masyarakat (CC) dan mesin-mesin layan sendiri di merata negara.

Dalam satu kenyataan pada Khamis (21 Mei), Persatuan Rakyat (PA) menyatakan pelitup-pelitup itu akan diagihkan dalam dua fasa.

Pada minggu pertama dari 26 Mei hingga 1 Jun, penduduk boleh mengambilnya di kaunter semua 109 kelab masyarakat dan 661 pusat Jawatankuasa Penduduk dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.

Bagi kemudahan penduduk, pelitup itu juga boleh diambil pada bila-bila masa dari mesin layan sendiri di kesemua kelab masyarakat, mulai pukul 10 pagi pada 26 Mei.

Mulai 2 Jun hingga 14 Jun pula, pelitup hanya boleh diambil melalui mesin layan sendiri.

Setiap penduduk yang mempunyai kad pengenalan sah - termasuk pembantu rumah, pekerja asing yang tinggal di luar dormitori dan pelajar antarabangsa yang tinggal di hostel - boleh mengambil satu pelitup setiap orang. Pelitup-pelitup itu juga akan diedarkan kepada pekerja asing di dormitori.

Bagi mengelakkan orang ramai berkumpul di tempat-tempat pengambilan pelitup, PA menggalakkan hanya seorang ahli keluarga datang untuk mengambil pelitup bagi seisi keluarga.

Mereka yang ingin berbuat demikian harus membawa kad-kad pengenalan, sijil kelahiran atau sebarang dokumen pengenalan Pemerintah yang mengandungi kod bar milik setiap anggota keluarga.

Selain itu, penduduk juga boleh melungsuri laman MaskGoWhere bagi mendapatkan maklumat lanjut, termasuk bekalan pelitup yang ada di mesin-mesin layan sendiri. Butiran tersebut juga akan dipasang pada papan notis kelab masyarakat, panel paparan digital atau wadah-wadah media sosial kelab-kelab masyarakat.

Pelitup-pelitup baru ini dapat menapis bakteria, tidak seperti pelitup yang diagihkan sebelum ini pada April sebelum langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dilaksanan.

Ini adalah kali ketiga pemerintah memberi pelitup kepada penduduk sejak penularan COVID-19.

Kali ini, pelitup ditawarkan dalam dua saiz iaitu untuk golongan dewasa dan kanak-kanak.

Keutamaan bagi pelitup saiz kanak-kanak diberikan kepada mereka yang berusia 12 tahun ke bawah, menurut PA.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing yang juga merupakan Timbalan Pengerusi PA mengumumkan pengagihan pelitup baru ini pada 6 Mei.

Menurut PA, sekitar 150 anggota SAF dan sekitar 40 kenderaan tentera dikerahkan untuk menghantar pelitup-pelitup itu ke kelab-kelab masyarakat di merata Singapura.

400 MESIN LAYAN SENDIRI DI MERATA S'PURA

PA berkata penyediaan mesin-mesin layar sendiri kali ini adalah bagi kemudahan penduduk yang hanya boleh mengambil pelitup itu selepas waktu pejabat.

Yayasan Temasek menyediakan 400 mesin tersebut kepada semua CC di merata negara. Mesin-mesin itu mengandungi panduan arahan dalam empat bahasa bagi membimbing pengguna tentang langkah-langkah mengambil pelitup.

Demi keselamatan penduduk, semua bahagian mesin yang kerap disentuh akan disalut dengan lapisan pembasmi kuman secara sendiri yang dapat bertahan selama tiga bulan.

"Mesin-mesin ini juga akan dibersihkan dan ditambah bekalan lebih kerap," menurut PA. 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan