Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penduduk kondo yang maki hamun pengawal keselamatan buat aduan polis berhubung gangguan

Satu aduan polis terhadap gangguan dibuat oleh seorang penduduk kondominium yang dirakam memaki hamun seorang pengawal keselamatan dalam video yang kini sudah tular. 

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk kondo yang maki hamun pengawal keselamatan buat aduan polis berhubung gangguan

(Gambar: Louisa Tang/TODAY dan media sosial)

Diterbitkan : 30 Oct 2019 09:02AM Dikemas Kini : 30 Oct 2019 09:04AM

SINGAPURA: Satu aduan polis terhadap gangguan dibuat oleh seorang penduduk kondominium yang dirakam memaki hamun seorang pengawal keselamatan dalam video yang kini sudah tular. 

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, polis mengesahkan aduan tersebut sudah difailkan. Satu aduan polis berasingan juga difailkan oleh pengawal keselamatan berkenaan.

Pada Mei lalu, Parlimen meluluskan pindaan terhadap Akta Perlindungan Daripada Gangguan (POHA) yang menjadikan ia satu jenayah apabila pengguna online menerbitkan maklumat peribadi seseorang dengan niat untuk mengganggu, mengancam atau mencetuskan keganasan - tindakan yang dikenali sebagai 'doxxing'. Ia belum jelas sama ada undang-undang yang dipinda tersebut sudahpun dikuatkuasakan.

Video berkenaan pertama kali dimuat naik ke laman media sosial pada pagi Sabtu (26 Okt). Ia menunjukkan penduduk Eight Riversuites, yang memperkenalkan dirinya sebagai Ramesh, bertengkar dengan pengawal keselamatan berkenaan berhubung peraturan kondominium tersebut di mana ia memerlukan pelawat yang tiba selepas jam 11.00 malam membayar yuran untuk meletak kenderaan mereka di premis itu.

Sejak itu, video tersebut sudahpun dikongsi semula oleh para pengguna online dan mendapat banyak komen termasuk mereka yang menyelongkar maklumat peribadi penduduk berkenaan berdasarkan profil akaun LinkedIn beliau yang kini tidak lagi berfungsi.

Ramai yang mengutuk kelakuannya manakala segelintir daripada pengguna online menggesa syarikat penduduk itu, JP Morgan, untuk memecatnya. Satu petisyen yang menggesa bank pelaburan berbilang negara untuk bertindak sedemikian sudahpun mempunyai 18,000 tandatangan setakat sehingga 10.00 malam hari Selasa (29 Okt).

Para peguam yang diwawancara Mediacorp mengatakan, sehingga ke hari ini, tiada sabitan di bawah undang-undang yang dipinda tersebut berhubung 'doxxing'. Lantas, terdapat beberapa kekaburan mengenai bagaimana undang-undang baru itu akan dikuatkuasakan, kata mereka.

Encik Nichol Yeo dari firma guaman Solitaire dan Encik Joel Ng dari Quahe Woo & Palmer berkata ia tidak relevan sama ada maklumat tersebut dihimpunkan oleh sumber-sumber awam seperti akaun media sosial. Namun demikian, Encik Amolat Singh dari syarikat Amolat and Partners berkata bahan tersebut mungkin boleh digunakan sebagai pembelaan.

Encik Ng berkata dalam kes ini, beberapa komen online yang disasarkan kepada penduduk lelaki berkenaan boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk gangguan.

Petisyen untuk memecat penduduk itu juga merangkumi niat untuk menimbulkan keresahan atau gangguan, jelas Encik Yeo. Beliau menambah konsep "vigilante justice" mengandungi ciri-ciri niat untuk menyebabkan keresahan atau gangguan.

Pada Selasa (29 Okt), satu emel oleh pegawai kanan JP Morgan Singapura Edmund Lee dihantarkan kepada semua pekerja di pejabat negara ini.

Ia memberitahu kesemua kakitangan bahawa mereka diharapkan untuk memperlihatkan standard tertinggi termasuk sikap hormat dan bermaruah terhadap orang lain dalam tingkah laku dan tindakan di dalam mahupun di luar tempat kerja".

Emel tersebut, bagaimanapun, tidak membuat sebarang rujukan khusus mengenai insiden tersebut ataupun penduduk yang terlibat dalam kes berkenaan - yang dipercayai adalah seorang rakyat Singapura.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan