Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendidikan Nasional diperbaharui, kata Janil Puthucheary

Pendekatan kepada Pendidikan Nasional (NE) di sekolah-sekolah akan disuntik kesegaran. Ini menyusuli semakan sepanjang setahun yang selesai pada bulan Oktober 2017.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Mar 2018 08:42PM Dikemas Kini : 05 Mar 2018 11:07PM

SINGAPURA: Pendekatan kepada Pendidikan Nasional (NE) di sekolah-sekolah akan disuntik kesegaran. Ini menyusuli semakan sepanjang setahun yang selesai pada bulan Oktober 2017.

Memberikan perincian berhubung pendekatan baru itu di Parlimen hari ini (5 Mac), Menteri Negara Kanan Pendidikan Janil Puthucheary menyatakan terdapat sebahagian masyarakat yang berasa ia sudah lapuk atau seperti yang disifatkan oleh AP Ang Wei Neng, NE adalah satu propaganda.

Dalam ucapannya, Dr Puthucheary berkata Kementerian Pendidikan (MOE) akur bahawa ia perlu bersikap terbuka untuk melaksanakan NE dengan cara yang berbeza.

"Kita mesti memperkasa para pelajar untuk meneroka apakah maknanya menjadi rakyat Singapura bagi diri mereka secara peribadi - bukan kerana sukatan pelajaran menyatakan demikian sebaliknya kerana mereka sendiri mengetahuinya."

Beliau menambah, itulah asas saranan-saranan oleh Jawatankuasa Semakan NE seramai 30 anggota, yang dipengerusikan oleh Dr Puthucheary.

Saranan-saranan itu menurut Dr Puthucheary, tertumpu kepada usaha memupuk rasa kekitaan pada negara dan masyarakat, kesedaran tentang realiti dan cabaran-cabaran yang diharungi Singapura dan keinginan berkongsi harapan dan aspirasi sebagai sebuah negara.

USAHA PERTINGKAT, PERBAHARUI NE DIRANGSANG TIGA TERAS

Buat masa ini sekolah-sekolah menggunakan enam mesej NE sebagai garis panduan semasa membangunkan program mereka.

Dengan perubahan itu, meskipun sekolah-sekolah diberi kebebasan untuk melaksanakan perubahan berdasarkan profil dan keperluan pelajar mereka, rangka kerja itu dijadikan sebagai panduan, di mana sekolah-sekolah digalak menjajarkan usaha-usaha NE mereka dengan tiga teras baru.

"Pertama, menurut Dr Puthucheary, adalah perlunya untuk mengadakan perbincangan NE bagi mengetengahkan isu-isu kontemporari serta pelbagai perspektif rakyat Singapura, termasuk para pelajar sendiri.

"Ini membolehkan para pelajar kita berkongsi penghargaan berkaitan kisah Singapura yang berubah-ubah," kata beliau, sambil menambah salah satu cadangan Semakan NE itu adalah supaya para pelajar membincangkan isu-isu kontemporari secara kerap dan bukan setakat pada waktu mata pelajaran tertentu.

"Para pelajar kita mungkin tidak bersetuju antara satu sama lain atau mungkin dengan guru mereka sendiri," kata Dr Puthucheary.

"Tetapi kami mahu memastikan terdapat ruang untuk mengadakan perbincangan dengan cara saling menghormati dan kami menerapkan minda terbuka dalam diri pelajar, sikap menghormati orang lain dan agar mereka dapat menimba kemahiran untuk berfikir secara kritikal."

Kedua, MOE akan membantu mewujudkan "pengalaman kerakyatan" yang memperkasa para pelajar, membolehkan mereka sendiri "mencari makna sebagai seorang rakyat", kata Dr Puthucheary.

"Kini sudah pun terdapat pengalaman-pengalaman penting sepanjang persekolahan pelajar di sekolah-sekolah kita, seperti Pertunjukan NE bagi semua pelajar darjah lima dan seterusnya kegiatan seperti di Pusat Bina Semangat atau Outward Bound School."

Memberi contoh Sekolah Menengah Ping Yi, beliau berkongsi bagaimana para pelajar 15 tahun di sekolah itu menerima kad pengenalan (NRIC) mereka dalam satu acara istimewa.

Ini "menekankan bahawa meskipun latar belakang mereka berbeza, para pelajar berusia 15 tahun ini mesti bersatu padu dan memahami hak istimewa yang dikongsi dan tanggungjawab sebagai rakyat Singapura," tambah beliau.

"Kami mahu mengadakan lebih banyak pengalaman sedemikian atau pengalaman-pengalaman bermakna berdasarkan sekolah," kata beliau.

Dr Puthucheary menambah, teras ketiga berkisar pada sokongan buat para guru, sambil berkata mereka adalah tunjang pengalaman pendidikan.

"Mereka sudah melakukan yang terbaik dan pada masa akan datang, kami akan mengadakan lebih banyak peluang pembangunan karyawan dan melibatkan para pendidik berpengalaman yang mempelopori inovasi pedagogi."

PELAJAR BERKEPERLUAN KHAS DIBERI LEBIH BANYAK SOKONGAN

Dr Puthucheary menambah kementeriannya akan meneruskan usaha untuk menyokong para pelajar berkeperluan khas.

Contohnya, beliau merujuk kepada program peralihan Sekolah ke Tempat Kerja yang sudah menunjukkan hasil positif dan beliau menambah kementeriannya sedang bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga serta SG Enable untuk mempertingkat program tersebut.

Program yang mewujudkan laluan latihan kerja lebih tertumpu bagi para pelajar berkeperluan khas yang boleh bekerja itu, pertama kali dirintis di lima buah sekolah pada tahun 2014.

Mendedahkan perinciannya, MOE menyatakan, sejak itu ia sudah diluaskan ke lagi tujuh sekolah pendidikan khas.

Ini termasuk sekolah-sekolah yang mendidik para pelajar kurang upaya intelek pertengahan hingga teruk, mereka yang mengalami autisme serta berbilang kekurangan upaya.

Dr Puthucheary menambah sepanjang setahun lalu, kementeriannya bekerjasama dengan sekolah-sekolah pendidikan khas yang dibiayai oleh MOE untuk memastikan kelancaran pelaksanaan pendidikan wajib bagi kanak-kanak berkeperluan khas sederhana hingga teruk.

Pada tahun 2016 diumumkan bahawa semua kanak-kanak berkeperluan khas berusia enam tahun dan ke atas namun di bawah 15 tahun harus bersekolah mulai 2019.

"Kami yakin para pelajar yang meraih manfaat dari sokongan khas sedemikian akan menerima pendidikan bermutu di sekolah-sekolah tersebut," tambah Dr Puthucheary.

Untuk menyediakan lebih banyak akses kepada maklumat berkaitan keperluan pendidikan khas dan membantu ibu bapa membuat keputusan jelas tentang suasana pendidikan yang sesuai untuk anak mereka, MOE menyatakan, ia akan melancarkan satu ruang yang sudah diperbaharui berhubung pendidikan khas di lamannya pada bulan ini.

Laman baru itu, tambah MOE, menyediakan maklumat seperti tarikh rumah terbuka sekolah-sekolah pendidikan khas, sokongan kewangan buat ibu bapa dan pautan ke laman agensi-agensi relevan lain. 

Sumber : CNA/NK/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan