Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendidikan main peranan lebih penting lagi di tengah pandemik COVID-19 - Lawrence Wong

Menteri Pendidikan yang baru, Encik Lawrence Wong berkata memastikan pendidikan terus menjadi penggerak sosial yang berkesan menjadi keutamaan besar dan lebih penting lagi di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Aug 2020 08:03PM Dikemas Kini : 14 Aug 2020 09:10PM

SINGAPURA: Menteri Pendidikan yang baru, Encik Lawrence Wong berkata memastikan pendidikan terus menjadi penggerak sosial yang berkesan menjadi keutamaan besar dan lebih penting lagi di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Encik Wong mendedahkan matlamat-matlamat kementeriannya itu dalam pertemuan singkat dengan pihak media buat pertama kali sejak pengumuman senarai anggota kabinet baru.

Tugas pertama Encik Wong sejak menggalas jawatan Menteri Pendidikan dua minggu lalu adalah untuk bercakap dengan golongan guru dan pelajar bagi mengetahui cabaran-cabaran dihadapi mereka.

Beliau sudah melawat tiga sekolah termasuk Sekolah Menengah Marsiling di mana beliau menyaksikan kelas pendidikan jasmani serta meninjau kebun di dalam bangunan sekolah.

Beliau juga sedia maklum bahawa sekolah-sekolah perlu menyesuaikan diri disebabkan COVID-19.

Encik Wong berkata MOE sedang meninjau cara-cara untuk memastikan pembelajaran pelajar tidak terjejas sekiranya pandemik itu berlarutan.

MOE, tambahnya, berazam untuk memastikan kesan COVID-19 tidak terlalu menjejas khususnya kanak-kanak kurang bernasib baik.

MOE akan memberi sokongan yang diperlukan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, yang lemah dari segi akademik dan juga pelajar berkeperluan khas.

"Kami akan memastikan bahawa kami mempunyai sumber-sumber untuk disalurkan kepada sekolah-sekolah yang mempunyai jumlah pelajar sedemikian yang lebih ramai. Dan ia bukan sekadar sumber bagi program akademik tetapi juga sumber untuk melibatkan pelajar dengan memberi mereka lebih banyak program pengayaan, lebih peluang untuk mendapat akses kepada pelbagai kegiatan dan mengejar minat mereka. Juga untuk membina rangkaian lebih kukuh dengan pertubuhan-pertubuhan di luar sekolah termasuk keluarga mereka kerana anda memerlukan persekitaran menyeluruh bagi memupuk anak-anak kita dengan baik," kata Encik Wong.

Encik Wong menambah bahawa usaha meningkatkan kemahiran secara berterusan juga penting dalam membangunkan sebuah masyarakat yang lebih adil.

Beliau berkata sekolah-sekolah sedang meningkatkan usaha untuk membantu para graduan baru yang berdepan dengan cabaran mendapatkan pekerjaan di tengah-tengah COVID-19.

Encik Wong menggesa mereka untuk menyertai kursus-kursus SkillsFuture.

Menurut Encik Wong, institusi pengajian tinggi juga sedang menyediakan para graduan dengan khidmat kaunseling dan mencari kerja.  

Sumber : CNA/RU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan