Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendekatan S'pura tangani COVID-19 elakkan banyak kematian, tegas Ong Ye Kung

Meskipun pendekatan Singapura dalam menangani COVID-19 mungkin tampak seakan "berubah-ubah" dalam pandangan sesetengah pihak, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung menegaskan ia berjaya mengelakkan jumlah besar kematian seperti yang dialami banyak negara lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Pendekatan S'pura tangani COVID-19 elakkan banyak kematian, tegas Ong Ye Kung

Gambar: REUTERS

Diterbitkan : 18 Oct 2021 07:18PM Dikemas Kini : 18 Oct 2021 07:21PM

SINGAPURA: Meskipun pendekatan Singapura dalam menangani COVID-19 mungkin tampak seakan "berubah-ubah" dalam pandangan sesetengah pihak, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung menegaskan ia berjaya mengelakkan jumlah besar kematian seperti yang dialami banyak negara lain.

Dalam menguruskan COVID-19, Singapura memilih jalan yang "unik di dunia", kata Encik Ong pada Isnin (18 Okt) di Persidangan Persatuan Sistem Maklumat dan Pengurusan Jagaan Kesihatan Asia-Pasifik.

"Kami tidak mengambil pendekatan hanya 'sifar COVID' atau 'hidup bersama COVID' semata-mata. Kami melaksanakan strategi pembasmian ketika penduduk kami menghadapi risiko, terutama tahun lalu dan awal tahun ini,” jelas beliau.

"Setelah vaksin memberi kita perisai pelindungan, kami membuka secara progresif, dan elakkan pelonggaran sekatan secara mendadak. Sebilangan pihak mungkin merasakan bahawa pendekatan jalan tengah ini mungkin tidak jelas, malah juga kelihatan seperti 'berubah-ubah'," katanya.

"Tetapi ini telah membantu kita mencegah jumlah kematian yang besar, seperti yang dialami oleh banyak negara," tambahnya.

"Ia adalah pendekatan yang tepat untuk Singapura, dan hari demi hari, kita semakin menghampiri 'cahaya yang semakin terang di hujung terowong'."

Singapura telah menyaksikan lonjakan kes COVID-19 sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan jangkitan harian melebihi 3,000 pada beberapa hari. Sehingga Ahad, angka kematian akibat virus itu adalah 233 orang, di mana 178 - iaitu lebih 76 peratus - berlaku antara September hingga Oktober.

Menurut perangkaan Kementerian Kesihatan, sebilangan besar yang meninggal dunia berusia lebih 70 tahun.

Dengan "majoriti besar" penduduk sudah lengkap divaksin, Encik Ong berkata COVID-19 bukan lagi keadaan mengancam nyawa bagi kebanyakan orang, dan Singapura perlu mula beralih ke keadaan hidup bersama koronavirus.

Singapura sedang mengerahkan lebih banyak sumber tenaga manusia, melibatkan mereka yang sebelumnya dikerahkan untuk membantu operasi ujian swab reaksi berantai polimerase (PCR) yang kini kurang dilakukan oleh pihak berkuasa. Kira-kira 1,600 sukarelawan terlatih sudah tampil untuk membantu, kata Encik Ong.

Mediacorp sebelum ini melaporkan bahawa beberapa pekerja hospital menghadapi tekanan hebat di tengah-tengah lonjakan jangkitan COVID-19.

Encik Ong berkata bahawa protokol penjagaan kesihatan telah dipermudahkan dan mereka yang bekerja di hospital swasta juga dikerahkan untuk sama-sama memikul beban kerja.

Di bawah protokol baru, yang bermula pada minggu lalu, hanya akan ada tiga set peraturan. Satu adalah untuk mereka yang mempunyai gejala dan diuji positif; mereka yang tidak mempunyai gejala tetapi disahkan positif; dan kontak rapat kes positif. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan