Images
  • pap psp nee soon grc
    (Gambar: Mediacorp)

Pendatang baru PSP masuk gelanggang lawan pasukan PAP pimpinan Shanmugam di GRC Nee Soon

SINGAPURA: Parti Kemajuan Singapura (PSP) akan bersaing dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi merebut Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Nee Soon, dengan para calon berjaya memfailkan borang pencalonan masing-masing pada pagi Selasa (30 Jun).

Pasukan PSP seramai lima anggota itu terdiri daripada Encik Damien Tay, Encik Taufik Supan, Cik Kala Manickam, Encik S Nallakaruppan serta mantan anggota Parti Suara Rakyat Brad Bowyer.

Mereka akan bertarung dengan pasukan yang dipimpin oleh Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam, Setiausaha Parlimen Kanan Muhammad Faishal Ibrahim, Louis Ng serta calon-calon baru Cik Carrie Tan dan Encik Derrick Goh.

Cik Tan, pengasas perusahaan sosial Daughters of Tomorrow, menggantikan Anggota Parlimen Lee Bee Wah yang sudah berkhidmat selama tiga penggal dan mengumumkan persaraannya daripada politik pada Isnin.

Encik Shanmugam berkata PAP mampu menerajui negara ini keluar daripada dua krisis utama yang membelenggu dunia sekarang iaitu pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi.

"Kami berharap anda akan terus memberikan sokongan padu kepada kami sekali lagi," katanya.

Bercakap kepada media selepas pencalonan mereka, pasukan PSP berkata mereka tidak fikir mempunyai anggota yang sebahagian besarnya adalah dari golongan minoriti akan menjadi kelemahan mereka. "Tidak kira sama ada kita adalah orang Cina, Melayu, India atau kaum lain, kami semua rakyat Singapura," kata Encik Nallakaruppan.

GRC Nee Soon mempunyai lebih 147,000 pengundi. Dalam Pilihan Raya Umum 2015, PAP menang 66.8 peratus undi semasa menentang Parti Pekerja.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

- CNA/HA/ha

Top